Permulaan pungutan pingat oleh pasukan Malaysia di Sukan Paralimpik kali ini nampaknya berhasil daripada arena powerlifting di Tokyo International Forum.
Sebutir emas dan sebutir perak yang berjaya dituai; masing-masing menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kg dan terbaru pagi tadi menerusi Jong Yee Khie dalam acara lelaki 107kg.
View this post on Instagram
Kejayaan berganda ini adalah ibarat hadiah istimewa sempena Hari Merdeka yang akan kita sambut esok di tanah air. Kedua-dua atlet berkaliber itu dilihat tidak gentar untuk memberikan saingan kepada atlet dari seluruh dunia lain apabila mereka memulakan saingan dengan angkatan yang cukup berat.
Semangat untuk memberikan laungan lantang kepada lawan masing-masing itulah yang ‘berharga’ sebenarnya buat peminat sukan negara. Malaysia kini tidak lagi dianggap sebagai wakil kecil yang tidak mampu beraksi sengit.
Kejayaan Bonnie dan Yee Khie ini juga sebenarnya adalah hasil didikan dan tunjuk ajar jurulatih kebangsaan powerlifting, saudara Jamil Adam.
Kata Jamil kepada rakan media di Sinar Harian sejurus kemenangan Bonnie hujung minggu lalu, dia menyifatkan Bonnie, 22 sebagai seorang pencabar yang mempunyai masa depan yang cerah kerana mampu memberikan fokus 100 peratus semasa sesi latihan dan pertandingan.
View this post on Instagram
Sejak mengesan bakat Bonnie pada usia 13 tahun, Jamil berpendapat pencapaian atlet itu pada waktu ini adalah konsisten sejak dia mula mewakili negara pada tahun 2017.
“Kini, dia sudah catat kejayaan besar. Dia dah pegang dua rekod tertingggi sekali, juara dunia dengan rekod dunia, pingat emas Paralimpik dan juga rekod Paralimpik. Oleh itu, kita sasarkan supaya dia sentiasa berada pada prestasi terbaik untuk beraksi di setiap kejohanan pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam pada itu, kami pasti Jamil juga gembira dengan kejayaan Jong Yee Khie yang berjaya menaiki podium sebagai pemenang pingat perak hari ini. Keinginan Jamil agar Yee Khie mendapat suntikan inspirasi daripada Bonnie telah membuahkan hasil di Tokyo.
Tahniah skuad powerlifting negara!
Sumber : (1)