Malam kemuncak pertandingan ratu cantik Miss Grand International 2022 semalam telahpun menobatkan jelitawan dari Brazil, Isabella Menin sebagai juara terbarunya sekaligus menepati ramalan ramai bahawa gadis dari negara Amerika Latin akan menguasai edisi ulang tahun kesepuluh pertandingan tersebut pada kali ini.
Begitupun, bukan Miss Grand International namanya jika ia tidak disusuli kontroversi dalam soal penganjurannya.
Bukan kedudukan juara yang menjadi perdebatan pada edisi kali ini yang dilangsungkan di Indonesia. Sebaliknya, ramai yang tertanya-tanya mengenai relevannya soalan yang diajukan kepada lima peserta akhirnya dalam segmen soal jawab semalam. Soalannya berbunyi seperti berikut :
“Sekiranya anda mempunyai peluang untuk menyampaikan mesej kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, mesej apakah yang ingin diberitahu?”
Injeksi politik dalam pertandingan ratu cantik seperti ini pada abad ke-21 ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Saban tahun, akan timbul soalan-soalan rawak berbaur politik sebagai cabaran buat peserta yang bertanding memandangkan mereka adalah wakil daripada negara berbeza pandangan yang inginkan mesej keamanan dibawa ke hadapan.
Begitupun, soalan di Miss Grand International 2022 ini ditujukan khusus kepada Presiden Putin dari Rusia; seolah-olah tanpa memikirkan perasaan wakil Rusia yang sedang berada di belakang pentas, delegasi Rusia di bahagian penonton dan tanpa memikirkan perasaan wakil negara-negara seperti Ukraine dan Crimea yang terkesan daripada pergolakan yang sedang berlaku.
Penonton di media sosial mempersoalkan mengapa hanya sekarang pertanyaan tentang kesan peperangan diangkat di segmen soal jawab Top 5 Miss Grand International biarpun misi mereka selama ini adalah untuk membawa mesej keamanan serta menentang peperangan atau keganasan dalam sebarang bentuk.
ARTIKEL BERKAITAN : Tidak Ada Sesi Baju Renang, Indonesia Jadi Tuan Rumah Miss Grand International 2022 – REMAJA
Ada juga pihak yang merasakan soalan semalam secara tidak langsung bersifat ‘tone-deaf’ terhadap situasi pencerobohan tentera zionis Israel di negara Palestin, pergolakan di antara rakyat negara Myanmar dan tentera Junta (walaupun wakil Myanmar diberikan peluang untuk mengutarakan isu yang melanda negaranya pada tahun lalu), penindasan terhadap minoriti Ughyur beragama Islam di China dan banyak lagi situasi lain selama ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Lantang Tolak Kekerasan Junta Myanmar, Bekas Peserta Ratu Cantik ‘Dihalau’ Dari Thailand Pula – REMAJA
Apapun, ini merupakan jawapan daripada Isabella Menin yang melayakkannya diangkat sebagai juara Miss Grand International 2022.
“Saya akan memberitahu Presiden Putin bahawa beliau berkongsi sejarah selama bertahun-tahun lamanya dengan Ukraine. Dan paling penting, mereka berkongsi nasib yang sama sebagai manusia.
Peperangan hanya akan menimbulkan kesengsaraan dan apa yang boleh kita lakukan adalah mula mengambil tindakan walau sekecil mana pun, mengguna pakai cara diplomasi dan memahami antara satu sama lain. Kerana bersama, peperangan dan kesengsaraan akan hilang,” kata gadis berdarah kacukan Brazil dan Itali itu.
Menerusi jawapan itu, Isabella sekaligus mengenepikan saingan 67 lagi peserta lain terutamanya peserta kegemaran, Engfa Waraha dari Thailand yang berpuas hati di kedudukan naib juara dan Andina Julie dari Indonesia yang menduduki tempat ketiga.
Melengkapkan kedudukan Top 5 adalah wakil Venezuela di tempat keempat dan wakil Czech Republic di tempat kelima yang juga memenangi kategori Miss Social Media.
Manakala, wakil Malaysia Charissa Chong pula tidak berjaya meloloskan diri ke peringkat 20 wakil terbaik semalam.
ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia Makin Popular, Charissa Chong Sebar Kepentingan Penjagaan Mata Di Miss Grand International 2022 – REMAJA
BACA LAGI : Charissa Chong Jadi Jelmaan Harimau Malaya Di Miss Grand International 2022 – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.