‘Brotherhood’! Siapa 5 Pemain Bola Sepak Selangor Botak Kepala Demi Brendan Gan

Share

Bukan mudah bagi mana-mana penghidap kanser untuk berdepan dengan cabaran melawan penyakit merbahaya itu. Tambahan pula dengan proses rawatan yang perlu mereka jalani di samping terpaksa akur dengan perancangan hidup yang tergendala akibat penyakit ini, tentunya mana-mana penghidap kanser amat memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi agar mereka terus kuat semangat.

REMAJA pernah kongsikan kisah ketua pasukan bola sepak Selangor, Brendan Gan yang menghidap kanser testis sekitar bulan Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : Kes Brendan Gan Buktikan Pentingnya Pemeriksaan Dan Dikesan Awal – REMAJA

Berita yang mengejutkan peminat bola sepak tempatan itu secara tidak langsung telah membuka mata ramai lelaki untuk lebih berhati-hati terhadap ancaman penyakit ini dan selalu melakukan pemeriksaan berkala sejak usia muda lagi.

Sumber Foto : Instagram Brendan Gan

Terbaru, beberapa pemain Selangor tampil ke hadapan untuk memberikan sokongan terhadap kapten kesayangan mereka itu dengan membotakkan kepala. Ia merupakan tanda solidariti di saat Brendan perlu melalui proses rawatan.

Menerusi video berdurasi seminit yang dimuat naik di Instagram rasmi Selangor FC (dan kemudiannya dikongsi ke YouTUbe Nadi Sukan), beberapa pemain Selangor mengambil keputusan membotakkan kepala termasuklah Khairulazhan Khalid, Ashmawi Yakin, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohammad Nor Hakim Hassan dan Taufiq Ar Rasyid.

Kata pemain tengah pasukan Selangor iaitu Wan Zack Haikal, “Kepada katen kami Brendan Gan, ini (tindakan membotakkan kepala) khas untuk anda. Get well soon,” sambil menyertakan tanda pagar #HereWithBrendan dan #KitaAdalahSatu.

Video tersebut tentunya ditonton oleh Brendan sendiri yang merasa terharu dengan tindakan rakan-rakan sepasukannya itu. “Sokongan dan kasih sayang anda amat berharga untuk saya sepanjang beberapa minggu yang sudah. Saya telah melihat dan membaca mesej-mesej anda. Ia membuatkan saya mahu berjuang lebih lagi. Terima kasih rakan-rakan!

“Saya ialah seorang lelaki yang kuat, saya akan tangani semua ini. Saya akan kembali ke padang lebih kuat dari dulu,” catatnya.

Terdahulu, Brendan telah melalui satu pembedahan membuang ketumbuhan setelah beliau disahkan menghidap kanser testis. Kini, beliau diletakkan dalam fasa pemantauan oleh pakar perubatan dan tidak bermain untuk tempoh yang agak panjang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Benarlah kata orang, berkawan biar seribu bercinta biar satu. Solidariti di antara pemain bola sepak Selangor ini membuatkan kita semua sedar betapa pentingnya semangat berpasukan yang wujud bukan setakat di atas padang tetapi juga semasa berada di luar padang.

Published by
FZ