Sebentar tadi, REMAJA menyiarkan berita mengenai sekolah bakal dibuka 15 Julai 2020 ini. Ia selepas tular perenggan mengatakan sekolah akan dibuka walau ketika itu Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin belum mengumumkannya lagi saat berita itu ditulis. BACA SINI : MENTERI BELUM UMUM, SEJAK SEMALAM TULAR DI GRUP WHATSAPP SEKOLAH DIBUKA 15 JULAI 2020
Ternyata spekulasi itu menjadi kenyataan apabila sebentar tadi, Dr Radzi Jidin dalam sidang media telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan dimulakan pada 15 hb Julai 2020.
Ternyata keratan perenggan yang tular di grup WhatsApp ibu bapa sejak semalam ternyata benar sekaligus timbul pertanyaan, siapakah individu yang menyebarkannya. Jelas berlaku “kebocoran” maklumat sidang media sebelum Menteri Kanan Pendidikan membuat pengumuman sebentar tadi.
Dalam pada itu, Astro Awani melaporkan, semua sekolah di seluruh negara akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, murid Tahun Lima dan Enam, Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai.
Katanya, murid Tahun Satu hingga Empat pula akan kembali ke sekolah bermula 22 Julai.
Sementara itu, katanya bagi pelajar Tingkatan Enam Semester 1, keputusan penawaran kemasukan calon sudah boleh disemak bermula hari ini dan pelajar akan mendaftar pada 15 Julai ini.
Dr Radzi berkata, pembukaan itu akan dibuat menggunakan tiga model pengoperasian yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.
"Model Satu Sesi ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.
"Model Dua Sesi ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
"Model Penggiliran untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi," kata beliau dalam sidang media khas pada Rabu.
Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh kementerian selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.
Takwim persekolahan juga telah dipinda mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek termasuk pindaan tarikh bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, ini termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar.