Hiburan

Spekulasi Terjawab, Michelle Yeoh Tak Ambil Anak Angkat Tapi..

Share

Tahun baru 2024 menjadi detik yang tidak akan dilupakan oleh pelakon antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh apabila beliau menimang cucu pertamanya, sekaligus kini memikul gelaran nenda.

Ia berlaku kurang dari tempoh sebulan setelah Yeoh melangsungkan majlis resepsi perkahwinannya bersama suami, Jean Todt di bandaraya Ipoh dan pulau peranginan, Pangkor.

Pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi (Oscars) 2022 menerusi filem Everything Everwhere All At Once itu pada awalnya memuat naik sekeping foto yang menunjukkan kaki seorang bayi di atas telapak tangan orang dewasa dengan kapsyen berbunyi,

“Satu keajaiban pada hari pertama tahun 2024. Kami amat-amat diberkati… Sukar untuk jelaskan betapa gembiranya saya untuk berita bahagia ini.”

Hantaran di Instagram itu lantas menuai spekulasi dalam kalangan peminatnya yang tertanya-tanya jika bayi tersebut milik orang lain ataupun sememangnya Yeoh dan Todt mengambil anak angkat.

Malah, tinjauan di bahagian komen juga mendapati ramai warganet pantas mengucapkan tahniah kepada ‘power couple’ itu.

Namun tidak lama selepas itu, Yeoh menjelaskan bahawa tapak kaki bayi itu hakikatnya milik cucu sulung beliau; iaitu anak kepada Nicolas yang merupakan anak lelaki Todt daripada hubungannya sebelum ini.

Yeoh seterusnya menitipkan penghargaan beliau  kepada Nicolas dan isterinya setelah merealisasikan impian mereka berdua menjadi datuk dan nenda.

“Terima kasih sayangku Nicolas dan Darina kerana membuatkan kami datuk dan nenda paling gembira dan bangga. Selamat lahir buat bayi Maxime.”

ARTIKEL BERKAITAN: Michelle Yeoh Menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards Ke 95

Untuk pengetahuan, Yeoh dan Todt telah menamatkan pertunangan berusia 19 tahun mereka pada tahun lalu setelah mereka mendirikan rumah tangga pada bulan Julai di Geneva, Switzerland.

BACA LAGI: Gembira Michelle Yeoh Bergelar Isteri Jean Todt, Ibu Titip Harapan Resepsi Diadakan Di Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ