Terbaru, gadis yang tular membawa guni semasa pendaftaran universiti, Rafida Zaiddin terus menjadi inspirasi apabila aktivis masyarakat dan pempengaruh, Adrian Edy mendedahkan bahawa dia merupakan seorang harapan keluarga dan juga pelajar cemerlang.
Menerusi Instagram milik Adrian, beliau baru-baru ini berkongsi gambar bertemu dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu untuk menyerahkan hadiah komputer riba dan tablet yang difahamkan pemberian dari rakyat Malaysia bagi memudahkan urusan pembelajaran gadis itu di universiti.
“Syukur hari ini ke UMS bertemu dengan Rafida. Terharu dengan kisahnya yang tular dan menyampaikan hadiah daripada rakyat untuk Rafida berupa sebuah komputer, tablet dan sedikit wang”
ARTIKEL BERKAITAN: Bawa Karung Guni Sebagai Beg Masuk Asrama, Kisah Pelajar Cemerlang Rafida Zaiddin Sentuh Hati Menteri Pendidikan
“Saya juga sempat berikan kata-kata semangat kepada adik Rafida untuk terus berjaya dalam pengajian seterusnya dapat capai cita-cita sebagai akauntan. Ternyata, Rafida anak yang baik dan taat kepada ibu bapa. Walaupun hidupnya susah dia tetap mahu bahagiakan keluarga dan ingin bantu lebih ramai yang memerlukan,” ujar Adrian menerusi perkongsian yang sama.
Menurut Adrian, keputusan yang diraih Rafida bukan calang-calang. Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Perakaunan itu mempunyai rekod pendidikan yang membanggakan.
“Rafida merupakan pelajar cemerlang sewaktu di sekolah apabila memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 sewaktu menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Adrian menambah, gadis guni itu juga berpewatakan ceria dan murah dengan senyuman. Beliau sempat mencungkil kisah karung guni, keluarga dan perjalanan gadis itu ke UMS yang menjadi tular.
“Rafida berasal dari Kampung Sim Sim, Sandakan telah menaiki bas bersama bapanya dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Beliau anak kedua dari dua beradik dan bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan. Bapanya merupakan peniaga sayur di Sandakan manakala ibunya adalah suri rumah,” katanya.
“Abangnya terpaksa berhenti belajar kerana faktor kewangan, kini Rafida lah menjadi satu-satunya harapan keluarga untuk berjaya di menara gading,” jelas Adrian.
Perkongsian tersebut telah menarik perhatian ramai dan masyarakat turut mengucapkan terima kasih kepada Adrian kerana menjadi pengantara memudahkan urusan Rafida di universiti. Pada masa yang sama, ada yang turut menitipkan doa agar gadis berkenaan terus cemerlang dan dapat membanggakan keluarga.
Sebelumnya, gambar karung guni yang berisi barangan keperluan milik pelajar tersebut ketika hari pendaftaran tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Pelajaran Malaysia, Fadhlina Sidek.
Rafida menjelaskan membawa barangan di dalam guni adalah idea bapanya bagi memastikan barang yang dibawa tidak tercicir memandangkan mereka menaiki bas dan akan menempuh perjalanan selama enam jam untuk sampai ke universiti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.