SPRM Serbu Rumah Pengerusi Tabung Haji, Siapa Lagi Pemimpin Umno Dalam Radar?

Share

Isu politik tanahair semakin “panas” apabila terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyerbu  rumah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Azeez Rahim yang juga Pengerusi Tabung Haji semalam.

Selepas rumah mewah DS Najib digeledah dan polis menemukan RM100 juta dari 11 buah beg yang diambil dari rumahnya dan baki dari 72 beg belum dikira, nampaknya rakyat semakin teruja dan tidak sabar ingin mengetahui siapa lagi pemimpin tertinggi Umno yang akan terkena senasib dengan bekas bos mereka. Biar siasatan masih dijalankan dan belum terbukti salah namun rampasan dan serbuan membuktikan wujudnya  kes salah laku terjadi.

Nampaknya usaha rakyat yang membuat tsunami dalam politik dengan memilih Pakatan Harapan sebagai pemerintah baru dan menumbangkan Umno benar-benar membongkar pekung  pemimpin Umno yang selama ini tidak terbuka tembelang mereka.

Tidak tahulah siapa yang bakal terkena selepas ini tetapi hakikatnya rakyat semakin tidak sabar melihat siapa lagi yang bakal kena.

Berkaitan isu Datuk Azeez Rahim, dalam laporan Sinar Harian berkata SPRM melakukan serbuan serentak di tiga premis milik seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno di Subang Jaya, Jalan Tun Razak dan Baling, Kedah, semalam.

Difahamkan serbuan tersebut dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Serbuan berkenaan dipercayai bertujuan bagi membantu siasatan berhubung lantikan kontraktor bagi projek membabitkan Tabung Haji (TH).

Menurut sumber berkata, pemeriksaan dijalankan di kediaman MT berkenaan di Petaling Jaya, Selangor dan Baling, Kedah selain pejabatnya di Jalan Tun Razak, di sini.

“SPRM telah menyita sejumlah wang tunai di salah sebuah lokasi pemeriksaan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

“Ia membabitkan kes pemberian projek TH kepada kontraktor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mengesahkan bahawa beberapa anggota telah datang ke rumahnya, semalam.

Beliau yang dihubungi Astro Awani mengesahkan kira-kira 10 anggota SPRM telah datang ke rumahnya sebelum memaklumkan kepada beliau untuk melakukan penggeledahan.

Kesemua pegawai SPRM itu hadir sekitar jam 1 petang semalam.

Tambah Abdul Azeez, daripada penggeledahan tersebut, pegawai SPRM turut merampas barang kemas milik isterinya serta wang tunai.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah wang tunai yang dirampas SPRM.

Abdul Azeez bagaimanapun berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika diperlukan tanpa sembunyikan apa saja maklumat yang diperlukan.

“Saya sedia bila masa sahaja untuk membantu dan memberi kerjasama kepada SPRM untuk membantu sebarang siasatan.

“Saya tiada apa yang hendak disembunyikan apa-apa. Sebenarnya saya dah duga ini akan berlaku memandangkan nama saya memang disebut,” katanya. – Astro Awani

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros