Sejumlah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kediaman pasangan serta pengasas platform e-dagang Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Ia susulan siasatan berterusan terhadap kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Serbuan berkenaan disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi.
Memetik laporan Astro Awani, pasangan tersebut hadir ke pejabat SPRM sekitar jam 1 petang semalam meneruskan rakaman keterangan sejak hari Selasa.
Kemudian, pasangan itu dibawa pula ke kediaman mereka di Mont Kiara, Kuala Lumpur bagi tujuan pembongkaran dan penggeledahan pada jam 5.30 petang.
Serbuan yang dihadiri oleh 12 pegawai SPRM dan disertai oleh peguam pasangan itu berakhir kira-kira jam 8 malam tadi.
Antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah. Anggaran nilai bagi kesemua barangan tersebut adalah kira-kira RM200,000.
Dalam pada itu, SPRM juga mengesahkan telah membeku 11 akaun bank persendirian dan enam akaun syarikat FashionValet di bawah selian pasangan itu yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan ini difahamkan bagi membantu siasatan yang terhadap isu kerugian yang dialami oleh Khazanah dan PNB di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Vivy dan Fadza dijadualkan untuk sekali lagi hadir ke pejabat SPRM pada 10 pagi ini untuk meneruskan rakaman keterangan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.