Dek kontroversi yang dicetuskan salah seorang anggota kumpulan gadis dari Sabah, SMDX baru-baru ini yang mendakwa tidak mengenali kumpulan Dolla, penyanyi Stacy yang juga berasal dari Sabah tampil memberikan sedikit nasihat kepada SMDX yang masih dalam fasa membina nama sebagai pendatang baharu.
“Kata kami mencabar Dolla? Siapa Dolla? Saya tak kenal. Mungkin Crystal dan Devey kenal,” – anggota SMDX, Elle Thong.
Stacy, 34 yang mula dikenali menerusi program realiti nyanyi, Akademi Fantasia musim keenam (2009) berpendapat masih banyak yang perlu dipelajari oleh ahli kumpulan itu terutamanya dalam perihal adab ketika bertutur dan menjawab sebarang soalan yang diajukan oleh media serta peminat.
“Janganlah. Macam mana sekalipun, pekerjaan dan profesion kita ini pada saya sendiri, ada kelasnya.
“Takkan nak glamor saja, dik? Tak boleh kamu macam itu. Kamu kena pergi dengan cara yang betul (dengan menunjukkan) bakat kamu dulu,” katanya kepada REMAJA di malam konsert ketiga The Hardest Singing Show.
Tambah pemilik nama penuh Ummu Shaikhah Stacy Anam ini lagi, untuk bertahan selamanya dalam industri seni hiburan bukanlah satu kerja yang mudah. Adab perlu dijadikan keutamaan agar orang di sekeliling serta peminat menghormati insan bergelar selebriti.
Apabila terjadinya kontroversi tidak diingini disebabkan kelancangan mulut seorang anggota SMDX iaitu Elle Thong, ia secara tidak langsung menggugat pandangan masyarakat terhadap dua lagi anggota lain yang tidak terlibat iaitu Crystal Vanessa John (Crystal), 23 dan Deveygrayc Justin (Devey), 24.
“Ini mulut, diam. Saya tahu mulut kamu laser. Mulut saya pun laser tapi kena diam.
“Kamu ingin masuk ke dalam industri ini, kamu perlu persiapkan diri dan berhati-hati. Dengarlah cakap saya,” nasihat Stacy.
Susulan tular klip video berkenaan, Elle Thong telah membuat permohonan maaf secara terbuka dengan mengakui kesilapannya. Penyanyi berusia 22 tahun itu juga mengambil pengalaman itu sebagai titik pengajaran untuk terus memperbaiki diri.
Begitupun, segelintir warganet masih tidak dapat menerima perilakunya yang dianggap angkuh walaupun baru bertapak sebagai pendatang baharu industri hiburan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.