Stadium Nasional Bukit Jalil Mungkin Berubah Nama Tidak Lama Lagi

Share

 

Stadium Nasional Bukit Jalil telah menjadi topik perbualan sepanjang minggu ini disebabkan isu-isu yang kurang enak didengar. Paling menjadi sebutan adalah keadaan padang stadium yang dianggap tidak menepati piawaian sesebuah stadium nasional dek takungan air semasa hari hujan.

ARTIKEL BERKAITAN : Stadium Nasional Bukit Jalil Ditutup Mulai Hari Ini Bagi Kerja Baik Pulih – REMAJA

Itu semua mungkin sekali akan diselesaikan tidak lama lagi setelah berita kemungkinan hak nama stadium tersebut akan dijual dengan adanya kerjasama rakan kongsi strategik telahpun diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam demi menjana pendapatan.

Katanya, penjualan hak nama stadium dan penjenamaan semula bukanlah satu perkara baharu dalam dunia sukan antarabangsa. Contoh terdekat yang dapat kita lihat adalah bagaimana stadium bersebelahan, Stadium Putra Bukit Jalil telah dijenamakan semula menjadi Axiata Arena pada tahun 2017.

Menurut Khairy Jamaluddin yang merupakan Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada waktu itu, kerjasama di antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Axiata Group Sdn Bhd terjalin menerusi perjanjian 10 tahun bernilai RM55 juta.

Banyak lagi stadium antarabangsa terkenal yang telahpun mengambil langkah menjual hak nama kepada syarikat komersil. Ini termasuklah Stadium Etihad (Manchester), Allianz Arena (Bayern Munich) dan Stadium Emirates (London) kepunyaan kelab bola sepak Arsenal.

Malah, dengan penjenamaan semula Stadium Nasional Bukit Jalil, tidak mustahil ia akan mempunyai pusat perniagaan barangan sukan sendiri, muzium dan sebagainya yang boleh menghidupkan industri sukan negara serta Bukit Jalil sebagai hub sukan disegani di rantau ini.

Begitupun, masih banyak perbincangan perlu dilakukan sebelum kementerian mengambil langkah tersebut.

“Ada banyak cadangan ke arah itu, tetapi buat masa ini kita yakin mampu (menguruskan Stadium Nasional Bukit Jalil). Tetapi saya tidak menolak kemungkinan (mengambil langkah menjual hak nama) untuk masa akan datang. Itu antara satu daripada cara kita memandang ke depan,” katanya kepada rakan media semalam.

BACA LAGI : Faizal Azumu Tidak Terasa Bila Disuruh “Jangan Hisap Gam” Di Stadium Nasional – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ