Staf Positif Covid-19, Zoo Melaka Ditutup 5 Hari

Share

Bagi yang bercadang untuk bercuti dan melawat Zoo Melaka, sila tangguhkan dahulu lawatan korang.

Hal ini disebabkan Zoo Melaka ditutup selama lima hari bermula hari ini ekoran seorang daripada penjaga haiwan di destinasi ikon pelancongan negeri itu dikesan positif COVID-19.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, penutupan itu bertujuan memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi di Zoo Melaka termasuk kemudahan di dalamnya antaranya kafe, pentas persembahan haiwan, kaunter tiket dan stesen trem, dapat dilakukan secara menyeluruh selama tiga hari bermula esok.

“Setakat ini hanya seorang kakitangan Zoo Melaka didapati positif dan jangkitan adalah daripada ahli keluarga tapi kita terpaksa menutup sementara zoo ini sebagai langkah awal untuk mengekang penularan COVID-19 sekali gus mengelak berlaku kluster baharu memandangkan kes positif COVID-19 di Melaka juga semakin meningkat.

Shadan berkata selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan dan pembersihan kawasan zoo tersebut juga akan dijalankan sepanjang penutupan sementara itu sebagai persediaan menghadapi cuti sekolah yang akan bermula pada 26 Februari hingga 20 Mac ini. Beliau berkata jumlah pengunjung ke Zoo Melaka dijangka terus meningkat sepanjang sesi cuti persekolahan.

Sejak kebelakangan ini, angka kes positif pandemik COVID-19 di negara kita kembali meningkat, jadi pastikan korang sentiasa menjaga aspek prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal dapat dipatuhi.

Sumber : Sinar Harian 

Published by
Nana