Jadilah ‘Influencer’ Yang Bertanggungjawab, Bukan Sekadar Pengulas Iklan Berbayar

Share

Jika dahulu diawal kemunculan platform media sosial seperti Friendster, Myspace dan Facebook, aplikasi ini merupakan tempat untuk kita saling berhubung antara satu sama lain.

Hubungan yang jauh kita rapatkan dan hubungan yang sedia dekat kita eratkan. Namun kini media sosial sudah berubah 360 darjah yang mana ia berevolusi menjadi medan mencari rezeki, pengiklanan dan sebagainya.

Seiring dengan perubahan ini, mula muncul kelompok ‘social media influencer’ ataupun dalam bahasa melayu, pempengaruh media sosial yang rancak menghiasi dunia digital tempatan.

Masing-masing hadir dengan ratusan ribu jika tidak jutaan pengikut yang setia menyaksikan setiap keletah dan juga gambar menarik ataupun jelik yang dirakam lensa kamera masing-masing.

 

Demi Content, Semua Boleh?

Kalau dalam bidang pengiklanan, pempengaruh boleh dibahagikan kepada pempengaruh makro dan juga mikro.

Mereka yang memiliki kurang pengikut (mikro) juga boleh dikira sebagai pempengaruh, kerana kandungan yang dipaparkan di media sosial mereka bersasar kepada pengikut yang setia.

Dengan lambakan aplikasi yang dimonopoli oleh golongan muda seperti Instagram, Twitter dan Tiktok, pelbagai cara boleh diraih untuk memiliki ramai pengikut.

Apa yang pasti, setiap hari perlu ada ‘content’ untuk disajikan kepada pengikut agar mereka tidak dilupakan. Tidak mudah untuk mengekalkan pengikut kerana jika tiada paparan menarik yang boleh disajikan pasti jumlah mereka akan susut.

Namun sejauh mana status pempengaruh media sosial ini sebenarnya?

Adakah golongan ini benar-benar pempengaruh ataupun sekadar individu yang memiliki platform pengiklanan sahaja sebagai punca pendapatan?

Menurut Freberg et al (2019), pempengaruh media sosial mewakili pihak ketiga penajaan yang membentuk sikap pengikut melalui blog, ciapan dan penggunaan media sosial lain.

Manakala bagi Gory & Westbrook (2009) pula, mereka menyifatkan pempengaruh media sosial sebagai pihak yang menjalinkan hubungan demi mempromosikan sesebuah jenama atau organisasi.

Kebelakangan ini, sikap yang suka menularkan sesuatu perkara bagaikan barah dalam kalangan mereka yang konon-kononnya memiliki kuasa di media sosial. Maki hamun dan sumpah seranah keluar dari mulut seperti air longkang yang mengalir tidak henti terus ke loji penapisan.

Siapa yang memberi hak kepada mereka untuk merasakan diri mereka lebih ‘besar’ berbanding orang lain? Pengikut? Ataupun timbul perasaan yang diri lebih hebat hanya kerana banyak mata yang memerhatikan tingkah laku serta apa sahaja yang dimuat naik di media sosial?

Tidak bermakna memiliki ramai pengikut menjadi tiket untuk memalukan individu lain. Ketidakpuasan hati seharusnya disiasat dahulu dan dibincangkan secara baik, tidak perlu melibatkan pengikut media sosial yang bersedia menjadi mata ketiga.

Kes-kes seperti memalukan bentuk tubuh orang lain, menunjuk ‘macho’ dengan mencari gaduh di gelanggang sukan, memaki hamun pemilik kedai serta menggelar dan mengugut penjawat awam dengan perkataan yang tidak elok antara contoh terdekat yang tular.

Jika sekadar hendak memuaskan hati sendiri, ia tidak berbaloi bahkan memalukan diri kerana setiap perlakuan dan kata-kata adalah cerminan peribadi seseorang.

Pentas media sosial dan juga kuasa pengikut yang dimiliki seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin, jika itu merupakan punca rezeki jagalah ia dengan baik.

Tepuk dada tanya selera, adakah anda benar-benar ‘social media influencer’ atau hanya sekadar platform mengulas iklan dan mewakili jenama yang pada penghujungnya akan melihat sejauh mana ‘engagement rate’ setiap hantaran yang dibayar?

Untuk menggelarkan diri anda sebagai seorang pempengaruh, gelaran ini datang dengan beban yang besar, nilai positif yang ditonjolkan serta peribadi diri harus bergerak seiring lantas memberi impak yang baik.

Gunakan kuasa pempengaruh yang dimiliki untuk mencipta manfaat sesama insan sekaligus mampu memperkasakan komuniti.

***P/S – Untuk anda yang suam-suam kuku di media sosial, di zaman yang serba pantas ini segala perkara hendak dimuat naik dan masing-masing berlumba menjadi yang pertama menyampaikan berita agar banyak tanda suka diterima. Tapi ingat ya, jangan sebar kalau tidak pasti!

Sumber Gambar: pexels.com

Published by
Fiezreen