Status Terkini MK K Clique ‘Masih Mencari’, Enggan Tergesa-Gesa Untuk Berumah Tangga

Share

Nama penyanyi dan pelakon seorang ini semakin dikenali selepas membawa beberapa lagu-lagu hits bergenre rap yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan anak muda.

Anak seni yang berasal dari negeri di bawah bayu, Sabah ini turut ‘digilai’ para wanita kerana mempunyai paras rupa yang kacak dan berketrampilan menarik. Namun, adakah hatinya sudah dimiliki seseorang?

ARTIKEL BERKAITAN: “From ‘Pondan Bestie’ To Forever Husband” Kisah Cinta Luar Biasa Pasangan Ini Raih Perhatian Warganet

Baru-baru ini ketika ditanya mengenai perkara tersebut, penyanyi lagu popular Ciao tidak menafikan dan tidak pula mengiyakan kini sedang mempunyai teman wanita istimewa.

Malah, pemilik nama MK K Clique atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan turut ‘mengunci mulut’ apabila bertanya mengenai gerangan seorang wanita yang selalu dilihat bergandingan dengannya sebelum ini.

Namun MK terbuka bercerita tentang ibu tercintanya, Kamariah yang sentiasa mendoakan agar anak lelakinya itu segera berumah tangga. Mana tidaknya, dalam semua adik beradiknya, hanya MK sahaja yang masih belum

bergelar suami.

“Ibu memang mendoakan saya ke arah itu jadi perancangan itu memang sudah ada. Lagi pula bila tengok adik-beradik semua sudah melangkah ke alam rumah tangga, perasaan untuk kahwin juga semakin membuak-buak,” katanya ketika ditemui Remaja pada majlis sidang media pelancaran koleksi baju raya Armaan.

Walau hanya dirinya yang masih tiada pasangan, anak ketujuh daripada lapan adik beradik itu tidaklah berasa tertekan memandangkan urusan perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil mudah.

“Saya tidaklah berasa tertekan. Memilih seseorang untuk menjadi pendamping hidup bukanlah sesuatu mudah kerana kita nak hidup bersamanya bukan setahun dua.

“Saya inginkan seorang wanita yang memahami diri saya dan membimbing saya dari sudut mental dan fizikal. Zaman sekarang sudah berbeza, percintaan pun menakutkan. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa status saya sekarang sedang mencari,” tuturnya lagi.

SUMBER FOTO: Instagram MK

Published by
Fath