Selepas penyanyi Elyana membuat pengakuan secara terbuka dia mempunyai kanser limfoma tahap empat, ramai menzahirkan rasa simpati.

Statistik Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira 19,000 daripada setiap 100,000 rakyat negara ini menghidap pelbagai jenis kanser.  Wanita adalah golongan yang paling berisiko menghidap penyakit berkenaan, iaitu membabitkan 10,290 pesakit daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia.

Lima kanser paling kerap menyerang rakyat negara ini adalah kanser payudara sebanyak 48.5 peratus, usus (12.1 peratus), paru-paru (11.8 peratus), pangkal rahim (5.7 peratus) dan kerongkong (5.4 peratus).

Akhirnya Dia Pergi Akibat Kanser Sarcoma…
Segalanya kini tinggal kenangan. Beginilah keadaan arwah ketika menjalani kemoterapi

Baca perkongsian sayu seorang isteri selepas suaminya disahkan mengidap kanser sarcoma iaitu sejenis kanser tisu di mana penyakit ini hanya mula disedari selepas terdapat satu benjolan di rusuk kanan.

Dia kini tabah menjaga enam orang anak yang masih kecil di mana anak terakhirnya, pasangan kembar langsung tidak sempat merasai kasih sayang ayah apabila suaminya menghembuskan nafas terakhir pada 27 Jun 2016, 23 Ramadan.

Ini catatan kisahnya…

Saya selalu dengar tentang kanser. Malas hendak ambil tahu sebab tak kena pada batang hidung sendiri. Tahun 2015, suami didiagnos menghidapnya. Benjolan yang terbit di rusuk kanan suami rupa-rupanya sel kanser.

Hasil ujian biopsy mengatakan suami menghidap Kanser Sarcoma (tisu) tahap ketiga. Kami terpempan tetapi saya masih positif dan beri semangat pada suami bahawa dia pasti sembuh.

Automatik, saya bertukar menjadi doktor. Habis segala artikel diteroka. Ubat, saya ‘explore’ semuanya semata-mata kerana ingin suami kembali sihat seperti sebelumnya.  Walau sarat mengandung anak kembar, saya tetap kuat demi cinta yang tak berbelah bagi.

Saya nak suami juga begitu. Saya perlu memandu ke hospital kerana suami tidak mampu. Tangan kanannya tidak sekuat dulu. Sukar digenggam malah sering sakit. Tenaganya berkurang, makan pun sudah tidak berselera.

Akhirnya Dia Pergi Akibat Kanser Sarcoma…
Ubat menjadi peneman setia setiap hari

Semangat suami makin merudum ketika saya ingin melahirkan anak kami. Dia tidak mampu menemani kerana berada di hospital yang berbeza bagi menjalani rawatan rutin. Kami terpisah seketika, bertarung nyawa demi mengecap kehidupan yang lebih bahagia. Alhamdulillah, anak kami selamat dilahirkan secara normmal. Twin ‘A’ kuat, barangkali ‘menyerap’ kekuatan baba dan bondanya.

Hujung tahun 2015, kesihatan suami makin merosot. Dia bertegas tidak mahu rawatan di hospital. Ada dua pilihan yang doktor berikan sama ada tangan kanannya dipotong (dari paras bahu keseluruhan) dan jalani kimoterapi atau berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

Enggan tangan dipotong

Suami tak sanggup bergelar OKU, lantas dia memilih untuk mencuba rawatan tradisional. Puas saya memujuk tetapi suami tetap berkeras.  Saya terpaksa akur dan ikut sahaja mana tempat yang dikatakan mampu merawat kanser. Twin ‘A’ seperti bukan lagi priority. Fokus saya 100 peratus kepada suami.

Februari 2016, suami terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan. Kata doktor, sel kansernya sudah merebak ke paru-paru. Saya berkeras untuk mencuba rawatan kimoterapi tetapi doktor hanya menggeleng kepala.

Ads

“Suami Puan sudah berada di tahap akhir (advance stage). Tiada lagi rawatan yang sesuai kecuali ‘comfort patient’.”

Saya ternganga!

“Maksudnya apa? Saya perlu biar dan tunggu sahaja? Melihat suami menahan sakit di hadapan mata? Bila susah nafas, guna nebulizer. Bila sakit, diberi ubat penahan sakit.

Begitukah?”

Doktor mengangguk. Tetapi saya masih tidak berputus asa. Saya bertegas mintak dirujuk kes ke Hospital Kuala Lumpur. Saya tetap mahu suami jalani kimoterapi. Saya mahu bantuan pakar! Akhirnya, permohonan saya didengar dan diluluskan. Suami dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur tiga hari kemudian. Di sana, suami berjumpa dengan doktor (bukan pakar) dan jawapannya masih sama.

Suami tiada harapan. Rawatannya masih ‘comfort patient’! Saya tak puas hati. Saya berkeras inginkan pakar, Akhirnya, seorang pakar (perempuan) datang berjumpa saya. Memeriksa keadaan suami dan membuat sedikit analisis.

“Suami puan nampak sihat. Tak demam. Kulit pun tak pucat. Jadi, kita akan terus dengan rawatan kimoterapi jika keputusan darah tak ada masalah.”

Saya ternganga! Tak percaya. Sempat saya beritahu doktor bahawa kanser suami berada di tahap akhir. Pakar di hadapan saya masih senyum sambil berkata “Kenapa? Advance stage tak boleh kimo ke? Jangan bimbang, suami Puan nampak sihat, InsyaAllah dan yakin pada-Nya”

Air mata saya mengalir laju. Allahhuakbar! Doa saya didengar. Segera saya palingkan badan mengadap suami. Melutut dihadapannya sambil memberitahu berita gembira

Ads

“Baba boleh kimo. Baba dengar tak tadi doktor cakap apa? Baba boleh sihatkan! Baba kena yakin, kena kuat, kena banyak doa!” Suami seperti mendapat kehidupan baru. Dia kembali yakin melihatkan wajah saya yang penuh dengan harapan.

Pertama kali dikimoterapi, hati saya berdegup kencang. Saya tidak dibenarkan berada di sisi suami kerana bimbang terkena radiasi. Sebelum beredar, saya kucup pipinya sambil berbisik “Baba kena kuat. Bonda ada dengan baba!” suami senyum dan melihat saya menjauh pergi. Lebih kurang 50 meter dari katilnya, saya memerhati prosedur itu. Nampak ringkas tetapi ubat kimo yang disuntik ke tubuh suami benar-benar merisaukan hati. Ya Allah, moga suamiku kuat!

Selesai kimo, saya segera duduk di sisi suami. Bersembang dan bertanya keadaannya.

“Baba ok tak? Badan rasa macam mana? Panas? Tekak loya tak? Baba nak makan apa, bonda carikan?”

Soalan datang bertalu-talu sebab hati saya risau tetapi suami masih ‘cool’ sambil menjawab, “Baba okla”

Tiga jam kemudian, suami mula menyatakan rasa tidak selesanya. Badan panas, kepala pusing, tekak loya, badan tidak bermaya. Sakit yang dirasa bergabung pada satu-satu masa. Saya sedar, ubat kimo sudah ‘menguasai’ dirinya di ketika itu. Panik dan sedih tetapi saya cuba berlagak biasa. Saya lari ke bilik air. Menangis melihatkan dirinya yang mengadu tak mampu bertahan lagi. Tiba-tiba Allah beri saya ilham untuk kembalikan kekuatan suami.

Akhirnya Dia Pergi Akibat Kanser Sarcoma…
Anak kembar kami yang tidak sempat merasai kasih sayang babanya..anak, semoga kau kuat kerana bonda akan sentiasa ada di sisi

Saya kesat air mata yang mengalir laju dan pura-pura kuat dihadapannya. Saya tunjukkan foto di dalam telefon dan bertanya siapa budak itu.  Suami jawab. Twin ‘A’. Saya tanya, siapa twin A dan suami jawab “Anak baba”. Ketika itu saya beritahu suami, dia perlu kuat dan sihat demi mereka.

Jika tidak untuk saya tetapi fikirlah anak-anaknya. Suami yang tadinya lesu seperti mendapat semangat baru. Dia ambil telefon di tangan saya dan belek wajah anak-anaknya satu persatu. Katanya, dia ingin air oren dan saya bergegas ke kantin mencari air oren seperti diminta. Persis raja mengeluarkan perintah, saya segera menurut asalkan suami dapat kekuatannya.

Alhamdulillah, kimoterapinya menampakkan hasil yang positif. Benjolan yang pada asalnya bersaiz sekitar 37cm mengecut hingga 29cm pada temujanji kimoterapi yang kedua. Doktor memanggil saya ke biliknya. Kami berbincang sambil doktor memberi sedikit penerangan. Kata doktor, suami perlu jalani enam kali kimoterapi yang mana ia dikenali sebagai paletif kimoterapi.

Ads
Akhirnya Dia Pergi Akibat Kanser Sarcoma…
Beginilah suasana dalam wad setiap hari..kini segalanya tinggal kenangan

Kimoterapi ini tidak mampu memulihkan tetapi membantu memanjangkan hayat pesakit. Saya faham maksud doktor yang seolah-olah mahu saya bersedia dengan kematian. Saya tolak semua andaian dan masih dengan fikiran yang positif. Saya percaya pada keajaiaban, saya percaya kuasa Tuhan.

Saya beri suami semangat. Waktu bersamanya, saya buka kisah-kisah survivor di internet. Saya bercerita macam-macam dengannya, cuba mengalih perhatian dari kanser yang sudah menggila. Keputusan x-ray paru-paru yang doktor tunjukkan petang tadi benar-benar meruntun hati. Hanya tinggal beberapa liang yang masih berkeadaan baik, selebihnya sudah ‘dikuasai’ kanser. Luluh hati ini hanya Allah yang tahu tapi saya tetap kuatkan semangat.

Sepanjang menjaganya, air mata ini tak pernah menitis walaupun setitis dihadapannya. Saya cuba sembunyikan kesedihan, saya cuba hilangkan kerisauan walaupun terpaksa menghitung hari untuk kehilangan. Setiap hari saya berdoa pada Tuhan agar tidak berada disisinya ketika akhir hayatnya nanti. Saya tak sanggup! Saya tahu saya pasti jadi gila!

Akhirnya dia pergi tinggalkan dunia ini tanpa saya di sisinya….

Tuhan makbulkan doa saya. Pertemuan kami petang itu adalah momen yang terakhir. Kami bersembang seperti biasa walaupun respon dari suami tidak seceria hari semalam. Suami banyak berdiam dan makannya nampak selera.

Bubur lambuk pemberian ibu dijamah lebih tiga sudu. Saya pegang jarinya, lembut dan mudah dilentur. Nampak respon yang positif, bisik saya di dalam hati! Saya beritahu suami, petang itu saya terpaksa pulang ke Klang untuk beli kelengkapan Aidilfitri kami nanti.

Kasihan anak-anak, tak ada baju dan kasut baru lagi. Suami diam, seperti tak rela untuk saya meninggalkan dirinya. Setelah dipujuk, suami beritahu dia inginkan baju raya berwarna hijau. Iya, nanti saya sediakan!

Sebelum beredar, saya sempat mengucup kepalanya yang botak licin; kesan kimoterapi. Dia langsung tidak memandang wajah saya buat kali yang terakhir. Saya sempat bisik padanya “Baba tunggu bonda datang ya. Dua hari lagi bonda balik”. Suami diam dan hati saya tiba-tiba sebak. Tak tahu mengapa. Tangannya saya genggam erat sebelum  tekad mengatur langkah. Sempat saya berpesan pada jururawat  supaya tengok-tengokkan suami sepeninggalan saya nanti.

Sekitar jam 12 tengah malam, saya terima panggilan telefon dari adik ipar mengatakan suami tenat. Saya bungkam tetapi cuba berlagak tenang. Saya segera berkemas apa yang patut dan cuba bertanya kembali keadaan suami. Namun, Allah lebih menyayangi.

Suami pergi meninggalkan kami pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Lancar dan tenang dia menghembus nafasnya. Saya seperti tidak berpijak di bumi lagi. Perasaan menerawang, sedih yang tidak mampu dijelaskan. Ketika itu, tiada setitikpun air mata yang keluar. Mungkin kerana saya puas menjaganya, berada di saat dia menderita, bergelak ketawa bersama, berkongsi semuanya.

Akhirnya Dia Pergi Akibat Kanser Sarcoma…
Semoga damailah mu di sana suamiku. Aku dan anak-anak akan kerap pulang untuk mengunjungimu…

Saya tahu, dia bahagia di ‘sana’ dan sesungguhnya saya cuba belajar redha. Tolong sedekahkan al-fatihah buat suami saya. Sesungguhnya pesakit kanser adalah ‘pejuang’ yang sebenar. Mereka kuat melawan sakit yang tidak nyata di mata. Hebat malah bertuah menjadi insan pilihan Allah SWT.

Alfatihah untuk arwah Shah.

 

 

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI