Suami Isteri Baru Nikah Sebulan Selamat Dikebumikan Satu Liang Lahat

Share

Ajal maut di tangan Allah taala. Sekuat mana manusia membuat perancangan namun takdir Allah taala tiada siapa dapat menghalangnya. Ternyata kasih sayang pasangan suami isteri, Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24 dan isterinya, Nur Diana Afifah, juga 24 tahun hanya sempat dikecapi sebulan sahaja apabila keduanya maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 131.20 Jalan Kuantan- Johor Bahru berdekatan Kuala Rompin.

Pasangan suami isteri yang baru saja mengadakan majlis menyambut menantu minggu lalu meninggal dunia selepas kereta Viva yang dipandu Mohamad Syahmi  bertembung sebuah bas ekspress. Bukan saja keduanya maut tetapi turut melibatkan dua pupu mereka iaitu Yasmin Afiqah Hazemi, 14, serta adiknya, Yasmin Aliah, 12 yang mana kesemuanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasangan suami isteri ini baru mengadakan majlis sambut menantu namun takdir menentukan keduanya maut dalam kemalangan jam 1.30 pagi tadi

Malah pasangan suami isteri dan dua beradik ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahat.

Dalam pada itu, satu temubual bersama bapa arwah, Mohd Rawi Manab, 50, anak lelakinya itu baru dinikah pada 8 November 2018 lalu.

Kemalangan dengan bas ekspress ini mengakibatkan kesemua mangsa dalam kereta Viva maut di tempat kejadian

“Kemalangan ini berlaku tepat sebulan mereka mendirikan rumahtangga. Mereka berdua sebenarnya baharu lepas menghantar barang keperluan kepada anak bongsunya berusia 20 tahun di Politeknik Muadzam Shah sebelum singgah di Teluk Chempedak di Kuantan untuk bersiar-siar.

“Bagaimanapun, ketika mereka mahu pulang semula ke Johor Bahru, kereta Perodua Viva yang dipandu anak saya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres. Sepatutnya saya yang perlu hantar barang berkenan, namun disebabkan ada kerja, dia yang terpaksa gantikan saya.

“Masa kejadian, anak bongsu saya turut mengikuti abangnya untuk balik ke Johor Baharu tetapi menaiki kereta lain, ” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Rompin di sini, hari ini.

Majlis sambut menantu baru diadakan minggu lalu namun takdir Allah menentukan segalanya buat pasangan suami isteri ini.
Beginilah keadaan kereta Viva yang remuk selepas kemalangan ngeri itu

Mohd Rawi berkata, ketika kejadian anak bongsunya ada mendengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat ke cermin dan nampak kereta abangnya dilanggar oleh sebuah bas.

“Arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik, seorang yang manja dan selalu makan bersuap walaupun sudah besar. Kami amat sedih sebab arwah baharu berkahwin dan barang perkahwinannya masih belum dikemas.

“Kami sekeluarga amat merasai kehilangannya, dia adalah harapan keluarga. Sebelum kejadian dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Al-fatihah untuk kedua beradik ini kerana keduanya turut maut di lokasi kejadian

Sementara itu, kakak kepada Nur Diana Afifah, Nur Nadira Aifa, 25, berkata adiknya berpesan supaya memadamkan laman sosial Facebook jika apa-apa berlaku kepada dirinya.

“Namun, kami sekeluarga tidak mensyaki apa-apa tetapi saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kepadanya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, adiknya yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu sudah berkenalan dengan suaminya sejak 2017 sebelum melangsungkan perkahwinan sebulan yang lalu.

Sementara itu, ibu kepada dua kanak-kanak yang juga sepupu kepada Mohamad Syahmi Emir enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kehilangan kedua-dua anaknya itu.

Semua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Seri Pantai, Mersing dalam satu liang lahad petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor, berkata pemandu bas berkenaan, Mohd Salleh bin Ghazali, 37, dan 30 penumpang tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Mohamad Syahmi Emir dipercayai dalam perjalanan balik dari Teluk Chempedak di Kuantan untuk menghantar sepupu mereka ke Mersing, Johor sebelum balik ke Johor Bahru.

“Bagaimanapun, sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai bertembung dengan bas ekspres berkenaan yang menuju ke arah Kuantan,” katanya.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros