Kasih hingga ke liang lahat. Ternyata kemalangan yang menimpa pasangan suami isteri yang tular pagi tadi menjadi berita sedih apabila anak dalam kandungan yang berusia 5 bulan turut terkorban dalam tragedi amat tragis ini.
Dilaporkan PBB Mohamad Ikraam Bin Ab. Azit (B 1948) yang bertugas di Balai Bomba & Penyelamat Tumpat dan isteri, Nur Syafikah Jaafar, 22 maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Lubok Jong, Pasir Mas jam 8 pagi tadi.
Mohd Ikraam Ab Azit, 22 meninggal pada jam 10.50 pagi dan begitu juga isterinya yang sedang mengandung lima bulan dilaporkan pecah perut akibat nahas tragik meninggal di tempat kemalangan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Abdullah Mohammad Piah, berkata Nur Syafiqah tercampak kira-kira tujuh meter sehingga janin dalam kandungannya turut terkeluar.
Ketika kejadian, katanya, motosikal ditunggang Mohd Ikraam dalam perjalanan dari arah Pasir Mas menghala Rantau Panjang, manakala Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun pula dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta Myvi cuba memotong kenderaan lain namun gagal sebelum bertembung motosikal jenis Yamaha LC dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, mangsa wanita tercampak sehingga tujuh meter menyebabkan janin dalam kandungannya terkeluar,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas (HPM), di sini sebentar tadi.
Abdullah berkata, Mohd Ikraam berasal dari Kampung Berangan, Tumpat, manakala isterinya pula berasal dari Jeli.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kemalangan ini sangat tragis dan menyedihkan. Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memastikan jarak selamat sebelum memotong kendaraan di hadapan,”katanya.
Sumber : SINAR HARIAN