Selepas berjaya mengumpul sejumlah besar dana untuk membawa pulang jenazah Mohammad Farhan Fudhailini yang maut ketika bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia pada 28 Dis lalu, tengah malam tadi, 12.20 malam jenazah remaja ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.
Suasana sebak jelas kelihatan saat jenazah Mohammad Farhan Fudhail diletakkan di liang lahat. Bukan saja diiringi ratusan kenalannya saat menghantar buat kali terakhir, ibu arwah, Furhzanatul Natasha Mohd Sazali, 30-an, yang bekerja sebagai jururawat di Australia turut ada sama.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Brisbane dan terus dibawa ke Masjid Tok Sira, di sini, untuk disolatkan.
Media sebelum ini melaporkan Mohammad Farhan Fudhail meninggal dunia selepas terlanggar tiang semasa bermain papan selaju bersama rakannya.
Arwah difahamkan ke negara itu bersama beberapa ahli keluarga lain untuk bertemu ibu mereka yang bermastautin di sana sejak kira-kira 10 tahun lalu. Malah arwah bersama adiknya, Farranazatul Fiqa, 15 turut berada sama bercuti ketika kejadian tidak terduga itu terjadi.
REMAJA sebelum ini pernah menyiarkan kisah Mohammad Farhan yang memerlukan sejumlah dana untuk membawa pulang jenazahnya selepas kemalangan terjadi kerana kos pengebumian di Australia lebih tinggi berbanding jika jenazah dibawa pulang. Malah Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra turut memudahkan urusan membawa pulang jenazah remaja ini ke tanahair.
Sumber : Harian Metro