Sudahlah Ditumbuk, Kemudian Dipaksa Untuk Turut Serta ‘Selfie’ Bersama Penyamun

Share

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh digambarkan apabila pekerja kedai serbaneka ditumbuk oleh dua lelaki tempatan yang kemudian memaksanya untuk turut berswafoto bersama mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 Bulan Stranded Di Kampung Sebab PKP, Rumah Licin Disamun Penyamun

Salah seorang suspek (kanan) sempat berswafoto bersama pekerja kedai yang ditumbuk olehnya.

Kini, pihak polis sedang giat menjalankan operasi pencarian dua suspek tersebut bagi tujuan siasatan lebih lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hasan, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi, apabila mangsa yang bekerja di kedai serbaneka 24 jam didatangi dua lelaki tempatan tidak dikenali yang ingin membeli arak.

Pengadu berusia 18 tahun tersebut dilaporkan menegur lelaki itu selepas dia mengambil tiga batang payung dan meninggalkan kawasan itu tanpa membayarnya.

“Berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan suspek sebelum suspek kembali ke kawasan itu dan menumbuk muka mangsa beberapa kali,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum membuat laporan polis, mangsa menjalani rawatan di hospital, sambungnya lagi.

Menurut Mohd Zaid, usaha mencari kedua-dua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperkatakan samun yang mengakibatkan kecederaan.

Bagi membantu siasatan, polis menggalakkan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil ke hadapan.

Pegawai penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang, boleh dihubungi di talian 011-25703695, IPD Kajang di talian 03-89114222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

BACA LAGI: “Ini Yang Saya Pilih..” Meerqeen Abaikan Kata-Kata Nakal Kononnya Wajah ‘Terlalu Mainstream’

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Kosmo, Berita Harian

Published by
Adriana Syaurah