Nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam petang semalam masih mengejutkan sejagat masyarakat bukan hanya di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.
Insiden yang melibatkan pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam penerbangan dari Pulau Langkawi ke Subang itu cukup menyayat hati apabila ia bukan sahaja meragut nyawa enam penumpang dan dua kru pesawat. Malahan, dua orang awam juga menjadi mangsa insiden apabila ia terhempas ke bumi.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa Pemandu Grab Tolak Tempahan Penumpang Sejak 2 Petang, Sempat Hubungi Isteri ‘Update’ Lokasi – REMAJA
Tambah menyedihkan apabila satu-persatu foto dan video yang dirakam oleh orang ramai telah menyinggah ke ruangan media sosial sehinggakan ada yang melanggar etika sensitiviti. Antaranya termasuklah imej-imej mayat rentung terbakar yang berhampiran tempat kejadian kini tular.
Melihat keadaan sedemikian, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telahpun menegur perbuatan tersebut. Menurut, adalah haram sekiranya seseorang menyebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam sesuatu tragedi. Ini kerana ia akan melukakan hati keluarganya serta meranapkan maruah seseorang.
“Sabda Nabi SAW yang bermaksud; ‘Hak setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.’ Riwayat Muslim (2564),” kongsinya.
Selain itu, Dr Zulkifli juga menasihati warganet adalah lebih baik sekiranya kita mendoakan mangsa-mangsa dikurniakan syahid akhirat kerana kematian itu berpunca daripada kemalangan.
“Moga-moga mereka dikurniakan syahid akhirat atas makna sahib al-hadm (orang yang ditimpa runtuhan),” katanya.
Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang
Sementara itu, dari sisi undang-undang pula, perkongsian gambar dan rakaman video mangsa nahas yang boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa dan melanggar prinsip etika asas boleh dikenakan tindakan!
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu kenyataan media sebentar tadi, “Sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video mangsa tragedi dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
Dalam masa-masa sekarang ini, usahlah kita lupakan faktor sensitiviti dan perasaan empati hanya disebabkan keghairahan mengejar jumlah ‘likes’ di media sosial.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.