Sudahlah Pengunjung Beransur Tiada, Resort 5 Bintang Di Langkawi Pula Terbakar

Share

 

Sebaik saja pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan keluar pada hari Isnin lalu, ramai pelancong domestik yang berkunjung ke Pulau Langkawi serta-merta bersiap sedia untuk pulang ke ibu kota sebelum terlambat.

Nampaknya, perniagaan industri pelancongan di pulau popular itu yang baru saja ingin menarik nafas lega terpaksa kembali bergelut setelah pengunjung beransur pulang dan tiada kemasukan pengunjung dari negeri-negeri berstatus PKP baharu buat sementara waktu.

Lebih malang lagi nasib sebuah pusat penginapan terkenal di sana iaitu The Andaman Resort Langkawi apabila ia dikejutkan dengan insiden kebakaran yang melanda sebahagian bangunan hotel tersebut terutamanya bahagian dapurnya.

Kejadian tersebut dilaporkan bermula kira-kira jam 4.04 petang semalam dan hanya sepenuhnya dapat dipadamkan pada tengah hari tadi. Tempoh masa yang agak lama diambil itu adalah disebabkan oleh api yang kembali marak untuk kali kedua pada tengah malam di kawasan yang sama.

Menurut Jabatan Kebakaran & Penyelamat Kedah, besar kemungkinan kehadiran angin yang bertiup kuat membuat api marak semula.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Andaman Resort, pihak pengurusan telahpun mengosongkan bangunan hotel, manakala pengunjung yang menetap di situ telah dipindahkan ke sebuah lagi pusat penginapan di bawah rangkaian kumpulan hotel mereka di Pulau Langkawi.

“Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan keselamatan kesemua pengunjung dan mereka yang berada di sini. Kami sedang bekerjasama bersama jabatan kebakaran untuk mengetahui punca kebakaran. Buat masa ini, kami masih belum dapat memberikan sebarang maklumat memandangkan kes ini masih dalam siasatan.

*

Untuk pengetahuan, The Andaman, Luxury Collection Resort merupakan pusat penginapan premium yang terletak di antara kawasan hutan terpelihara dan laut Andaman. Ia mempunyai sejumlah 178 buah bilik penginapan dan beberapa suites mewah yang memelihara stail serta seni bina kontemporari Malaysia.

Published by
FZ