Sukan Paralimpik : Apakah Itu ‘Call Room’ Dan Kepentingannya?

Share

 

Pembatalan kemenangan pingat emas oleh atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sebentar tadi masih tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia.

Pembatalan itu susulan protes yang dilakukan skuad lontar peluru Ukraine selepas keputusan penuh diumumkan. Lantas kemenangan Ziyad berserta rekod dunia yang dileburkan oleh atlet Gombak, Selangor ini ditarik semula.

ARTIKEL BERKAITAN : “Kenapa Tidak Bantah Sebelum Acara Bermula?” Warganet Bantah Isu Teknikal Ziyad Zolkefli – REMAJA

Mengikut laporan tidak rasmi, Ziyad dikatakan tidak berada di call room

mengikut waktu yang ditetapkan oleh pihak penganjur sebelum acara dimulakan. Bagi penulis dan ramai lagi di luar sana yang tidak terlibat dalam dunia sukan, tentunya kita tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan ‘call room’ ini?
Contoh laluan yang perlu dilalui atlet dari call room ke gelanggang; contohnya di acara 4x400m lelaki di Kejohanan Olahraga Eropah 2018 ini. Sumber Foto : Stephen Pond/Getty Images.

Berdasarkan info yang kami perolehi daripada paparan laman web Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), call room adalah bilik menuunggu yang dikhaskan untuk para atlet sahaja. Mereka diminta berkumpul di sana sebelum perlumbaan atau perlawanan bermula secara bersendirian.

Biarpun temasya Paralimpik ini melibatkan para atlet kurang upaya seperti kekurangan deria penglihatan, pendengaran, fizikal lain atau sebagainya, TIADA bantuan luar seperti tapper (khas untuk atlet kurang penglihatan), jurulatih dan bantuan delegasi yang dibenarkan berada di dalam call room. Ini bagi memastikan tiada perbincangan saat akhir berlaku dan mengelakkan ketidak adilan dalam kalangan wakil yang bertanding.

*

Lain negara, lain panggilan mereka untuk call room.

Contohnya di Belanda, ia dipanggil sebagai voorstart manakala delegasi Australia memanggilnya marshalling room.

Dalam beberapa acara sukan, call room akan dibahagikan pula kepada dua buah bilik atau lebih. Contohnya di arena renang, atlet akan memasuki call room pertama untuk pemeriksaan sut renang, goggle, topi renang dan logo mereka. Di dalam call room kedua pula, barulah atlet akan berkumpul dan disusun mengikut giliran.

Di call room, atlet akan mula fokus dan menenangkan adrenalin dalam diri masing-masing sebelum keluar. Di sinilah mereka akan berhadapan dengan lawan masing-masing – eye to eye, face to face. Ada yang menganggap call room sebagai permulaan perlawanan sebenar. Iyalah, tanpa kekuatan mental yang kuat, sesiapa saja akan mudah ‘rapuh’ dalam call room sebelum keluar ke gelanggang.

Amat penting untuk para atlet berada di call room mengikut waktu yang ditetapkan demi memastikan acara berjalan lancar, bermula tepat pada masanya dan tidak berlaku ketidak adilan seperti yang kami katakan tadi di antara atlet dan jurulatih.

*

Jujurnya, kita tidak tahu keadaan sebenar call room di Stadium Olimpik Tokyo bagi sukan olahraga ini; lagi-lagi bagi acara lontar peluru yang disertai oleh Ziyad Zolkefli hari ini.

Sementara siasatan berkaitan bantahan delegasi Malaysia, Australia dan Ecuador dilakukan, usahlah kita menokok tambah info yang tidak benar. Jangan pula kita menyerang akaun media sosial milik Sukan Paralimpik, Tokyo 2020 dan persatuan sukan Ukraine.

Ingat, budi bahasa itu budaya Malaysia; dan tiada masa yang lebih tepat untuk kita mempraktikkan budaya itu melainkan pada Hari Kebangsaan hari ini.

Sumber : (1) (2)

Published by
FZ