Dalam tempoh 48 jam sejak pingat emas yang dimenangi secara adil oleh jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ditarik semula oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), pelbagai kisah punca kelewatan atlet tersebut ke call room bersama-sama dua lagi orang atlet iaitu Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) telah kedengaran.
Malah, tempoh kelewatan mereka juga hadir dalam beberapa versi – ada yang berkata lewat lima minit, tiga minit, dua minit dan sebagainya.
Namun apa yang pasti, Ziyad dan kem Malaysia gagal memenuhi tuntutan peraturan pertandingan World Para Athletics iaitu tidak mendaftarkan diri di dalam call room pada waktu yang ditetapkan dan sekaligus boleh dihalang daripada menyertai pertandingan kerana faktor kelewatan hadir melaporkan diri.
ARTIKEL BERKAITAN : Apakah Itu ‘Call Room’ Dan Kepentingannya? – REMAJA
Dalam satu sidang media besama Chef de Mission Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu Datuk Seri Megat D Shahriman, beliau berharap agar rakyat Malaysia tidak menunding jari ke arah mana-mana individu sebagai penyebab insiden berlaku tanpa bukti yang kukuh.
Tambahan pula, insiden ini masih dalam siasatan dan pihaknya sedang cuba mendapatkan rakaman CCTV di call room dan kawasan menunggu Stadium Olimpik Tokyo daripada pihak penganjur. Ia bukan saja demi melakukan siasatan dalaman tetapi juga untuk mendapatkan gambaran serta masa sebenar insiden sebagai bukti bagi tindakan rayuan selanjutnya.
BACA LAGI :Rayuan Ziyad Zolkefli Disambung Selepas Tokyo 2020 – REMAJA
Menerusi laporan Berita Tengah Hari di saluran RTM sebentar tadi, REMAJA mengikuti sidang media lanjut di mana Datuk Seri Megat mengambil soalan daripada rakan media yang hadir pada sesi tersebut.
Persoalan siapakah yang harus bertanggungjawab di sebalik insiden ini menjadi persoalan utama yang dikeutarakan. Ini kerana rakyat Malasyia masih dalam zon kelabu berkenaan apa sebenarnya yang terjadi hinggakan atlet tersebut boleh lewat tiba.
Spekulasi lewat kerana menelefon seseorang, berdepan kesesakan dalam perjalanan ke bilik menunggu dan hujan lebat adalah antara punca yang diperkatakan di media sosial. Adakah mana-mana spekulasi itu benar atau tidak?
Ulas Datuk Seri Megat, “Tugas saya sebagai CDM (Chef De Mission) adalah untuk melakukan protes dan rayuan. Untuk menghukum, menunding jari atau untuk mengatakan orang ini orang itu (yang bertanggungjawab) bukanlah dalam kapasiti saya.
“Bahagian itu akan saya serahkan kepada pihak kementerian untuk melakukan post-mortum.”
“Saya juga tidak berada di situ. Itulah sebab saya ‘mati-mati’ ingin mendapatkan (rakaman) CCTV itu. Tidak adil untuk saya tunding jari kepada seseorang dan apabila (rakaman) CCTV dapat, mungkin orang lain. Jadi kita kena hormati proses ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Megat mengesahkan bahawa tiada pengurus skuad para negara yang mengikut kontijen Malaysia ke Tokyo bagi temasya tersebut.
“Sebagai CDM, saya juga terpaksa korban jumlah sekretariat saya di sana. Saya bagi tahu, sekretariat saya Encik Mohon (menjadi) satu-satunya orang yang perlu melakukan semua kerja. Tidak logik bukan? Sepatutnya saya ada tiga orang. Tapi itulah pengorbanan yang perlu kami lakukan, tiada pengurus pasukan dan penolong di sana,” kata beliau sambil merujuk kepada situasi pandemik di Tokyo 2020 sekarang.
Oleh itu, kita biarkan saja siasatan dan rayuan ini diteruskan oleh pihak mereka. Lata Datuk Seri Megat, biarpun kecewa, Ziyad Zolkefli sendiri dilihat berlapang dada dengan keputusan tersebut.
Terdapat ramai lagi atlet para negara di Tokyo 2020 yang memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia bersama mereka. Ayuh berikan sokongan tidak terhingga agar kita boleh terus menuai pingat di sana.
ARTIKEL BERKAITAN : Acara Boccia Sumbang Pingat Ketiga Buat Malaysia! – REMAJA