Sukar Bernafas Walaupun Ambil Ubat, Pelakon Sweet Qismina Positif COVID-19

Share

Realitinya, situasi pandemik Covid-19 di Malaysia masih berada dalam tahap kritikal dan sesiapa saja boleh dijangkiti biarpun prosedur operasi standard (SOP) telah kita patuhi.

Terbaru, pelakon Bidadari Salju, Sweet Qismina mengesahkan dirinya telah dijangkiti wabak COVID-19 semasa berada di Kuala Kangsar, Perak bagi menjalani penggambaran filem Tariandi sejak 15 April yang lalu.

Hanya sehari setelah memasuki set, Sweet mendapati dirinya kurang sihat dan berehat dengan mengambil ubatan selama tiga hari. Begitupun, dia terus mengambil langkah proaktif untuk menjalani ujian SWAB di Hospital Columbia, Taiping setelah keadaannya tidak pulih dan masih sukar bernafas.

Menerusi hantaran kenyataan rasmi daripada pihak Warner Music Malaysia yang mewakili Sweet, dia disahkan positif dan terus dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dikuarantin menjalani saringan PCR. Hasil ujian tersebut turut positif.

Justeru, Sweet dikuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh dalam keadaan sedikit lemah dan hilang deria rasa. Bagaimanapun, keadaan pelakon itu kini stabil tanpa mengalami sebarang komplikasi.

Sama-samalah kita doakan agar keadaan Sweet bertambah pulih ya.

Sebelum ini, beberapa personaliti popular tempatan juga pernah disahkan positif Covid-19 semasa berada di tempat kerja. Ini termasuklah Alif Satar, Roy, Aepul Drama Band dan Syafiq Farhain.

Published by
FZ