Orang Perak pasti kenal benar dengan nama Sultan Idris Shah II yang memerintah negeri itu selama 21 tahun bermula dari tahun 1963 sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1984. Sepanjang memerintah negeri Perak, almarhum terkenal sebagai sultan yang berjiwa rakyat dan sentiasa dekat dengan mereka yang berada di bawah naungannya.
Salah satu kegemaran baginda adalah seni muzik. Kecintaan baginda terhadap seni muzik dizahirkan menerusi penubuhan sebuah kumpulan kugiran yang diberi nama Orkes RIShah. Baginda bukan sahaja seorang yang gemarkan muzik bahkan berbakat dalam penciptaan lagu serta penulisan lirik.
Antara lagu popular yang ditulis baginda adalah lagu Kalau Rindu nyanyian penyanyi terkenal Allahyarhamah Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang yang menjadi antara lagu menguasai carta sekitar tahun 70an. Selain itu baginda juga menulis lagu-lagu lain seperti Semalam di Subang dan Pulau Pangkor yang dirakam ke dalam piring hitam dan dinyanyikan oleh Aminah Ahmad.
Lagu Kalau Rindu nyanyian Rafeah Buang menjadi halwa telinga masyarakat sehingga kini dan masih lagi dimainkan di corong radio. Hasil kreativiti dan juga puitisnya lirik yang dihasilkan membuat lagu ini terus malar segar merentas zaman.
Bagi anak muda yang kurang kenal dengan almarhum Sultan Idris Shah II. Sedikit trivia untuk anda, Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah merupakan salah seorang puteri baginda dan ini menjadikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebagai cucunda baginda.
Selain itu, seorang lagi anakanda baginda, Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Zukarnain merupakan Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan kini.