Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah mengeluarkan satu kenyataan menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai depan.
BACA: Bertahun Dianjur Di Malaysia, Umat Islam Dinasihat Tidak Lagi Sertai Festival Bon Odori
Sebelum ini boleh dikatakan setiap tahun pesta Bon Odori dianjurkan di Shah Alam dan sejak pandemik COVID-19 yang melanda negara dua tahun lalu, ia dihentikan sementara. Tahun ini, festival tersebut sekali lagi bakal menjadi antara acara terbesar di Shah Alam.
Datuk Idris Ahmad menyifatkan bahawa festival itu mengandungi unsur agama lain dan kerana itu juga umat Islam tidak digalakkan untuk menyertainya. Namun, hari ini Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke program itu supaya dapat memahami perbezaan antara agama dan budaya.
Baginda tidak mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat. Perbuatan itu juga dikatakan boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut.
Titah Baginda lagi, sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan. Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu.
Dalam kenyataan yang dibuat di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, menjelaskan bahawa Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan dilihat sambutan itu tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah individu yang hadir.
Untuk info, perayaan ini menjadi popular di Malaysia apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor. Oleh yang demikian, Bon Odori menjadi platform untuk memperkenalkan budaya hiburan di Jepun, selain merapatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
Apa-apa pun pilihan ditangan korang. Tepuk dada tanya selera!
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=U985G7cH8a4&t=8s