Seperti yang kita tahu pengambilan vaksin merupakan satu cara untuk mengurangkan kebolehjangkitan virus tersebut sesama manusia. Kini terbukti walaupun kes masih lagi tinggi tetapi jumlah pesakit yang berasa di tahap 4 dan tahap 5 telah berkurangan. Seperti yang sudah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, Malaysia dijangkakan akan memasuki pasa endemik pada akhir Oktober tahun ini.
Namun usaha untuk mengembalikan taraf kehidupan yang baik tergendala dek segelintir kelompok yang dilihat bersikap antivaksin. Penolakan mereka terhadap vaksin bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan membahayakan masyarakat sekeliling. Hari ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menzahirkan rasa dukacita terhadap kelompok guru sekolah rendah dan menengah, guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan menerima suntikan vaksin.
Dalam siaran media yang dimuat naik dari laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor bertitah, “Beta telah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 di kalangan guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Negeri Selangor di bawah pentadbiran JAIS.
“Beta difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19. Manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan. Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian. Manakala, 9 orang jurunikah pula masih belum divaksin dan 6 dikenalpasti enggan menerima vaksin. Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Negeri Selangor ini.
“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.
.
“Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Negeri Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin. Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama.
“Beta juga difahamkan bahawa terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Negeri Selangor yang juga enggan divaksin. Ini juga boleh membahayakan para pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan di Negeri Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib.
“Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini. Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan. Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan. Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.
“Akhirnya Beta menyeru kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor ini supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat disekelilling. Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya Pandemik Covid-19 ini akan berakhir dengan segera dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.”
Keprihatinan Sultan Selangor terhadap isu penolakan vaksin ini seharusnya menjadi satu semangat untuk rakyat Selangor sama-sama memastikan kehidupan di negeri ini bakal menjadi lebih baik apabila majoriti penduduk sudah divaksin. Semoga dengan titah yang diberikan baginda ini menjentik hati kelompok antivaksin untuk memikirkan kembali keputusan mereka.
Sumber & Gambar: Instagram Selangor Royal Official