Niat asal seorang pelajar Indonesia bernama Sultan Gustaf Al Ghozali apabila mengumpul koleksi swafoto sendiri yang hampir mencecah 1,000 keping adalah demi mencipta video timelapse buat dirinya sempena hari konvokesyen. Lalu dia telah mengambil swafoto pada setiap hari sejak lima tahun lalu dengan duduk di hadapan komputer.
Namun setelah pelajar jurusan Sains Komputer dari Semarang ini mengetahui mengenai kelebihan teknologi ‘blockchain’, dia mengambil keputusan untuk memuat naik kesemua foto tersebut ke platform NFT di bawah album berjudul Ghozali Everyday’.
Siapa sangka, perbuatan Sultan itu mendatangkannya durian runtuh setelah hak digital untuk foto-foto itu terjual di NFT pada nilai melebihi USD1 juta atau kira-kira RM4 juta dengan menggunakan wang kripto.
Kata remaja berusia 22 tahun itu, “Pada mulanya, saya hanya meletakkan foto itu pada haga USD3 (RM12) kerana tidak pernah terfikir akan ada orang yang ingin membelinya. Saya fikir agak lucu jika ada individu yang ingin mengumpul foto-foto saya itu.”
Namun, begitulah kata orang rezeki memang tidak pernah salah alamat. Sultan mendapati salah satu fotonya terjual pada nilai 0.247 matawang kripto bersamaan USD806 (RM3,367). Jualannya itu semakin meningkat selepas seorang chef selebriti mempromosikan foto itu di media sosialnya.
Dalam tempoh beberapa hari saja, lebih 400 orang individu lain telah membeli hak milik digital foto remaja itu! Sehingga hujung minggu lalu, nilai koleksi foto Sultan telah mencecah nilai 317 ether bersamaan USD1 juta (RM4 juta).
Begitupun, pelajar yang bercita-cita untuk memiliki studio animasinya sendiri satu hari nanti ini berkata dia masih tidak berani untuk memberitahu ibu bapanya mengenai rezeki ini kerana gusar mereka menjadi hairan dari mana mereka boleh memperolehi wang sebegitu banyak.
Buat masa ini dia akan meneruskan rutinnya mengambil swafoto sehingga hari konvokesyen dan wang yang diterimanya akan dilaburkan ke arah sesuatu yang brmanfaat.
Haa, kalau korang tengah ikat perut di kampus dan kekurangan wang perbelanjaan, tak salah untuk korang mencuba cara Sultan Gustaf Al Ghozali ini. Hehe..
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.