Penggantungan 2 Tahun Lee Zii Jia : Misbun Terkejut, LCW Pernah Minta Tahan Tekanan, Axelsen Kecewa

Share

 

Keputusan pemain badminton perseorangan nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mendapat perhatian meluas – bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Sejak menyertai BAM pada usia 13 tahun hinggalah 10 tahun kemudian, berita pemergian Lee Zii Jia daripada BAM lalu bergerak sebagai pemain profesional bebas telah mengejutkan peminat sukan badminton.

Sedari semalam, pelbagai pendapat telah dilontarkan menerusi platform media sosial termasuklah oleh beberapa nama besar dalam komuniti sukan badminton.

*

Kata Datuk Misbun Sidek yang pernah melatih Zii Jia sewaktu beliau bergelar jurulatih dalam pasukan kebangsaan satu masa dahulu, beliau sempat bertemu Zii Jia pada hari pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM.

Datuk Misbuk Sidek. FOTO : Sports247

“Saya terkejut dengan keputusannya namun saya hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya untuk fasa seterusnya dalam hidupnya.

“Sebagai seseorang yang bertugas di bawah persatuan kebangsaan, saya hanya mampu menggalakkan pemain untuk kekal berada di bawah persatuan kerana mereka mempunyai fasiliti, latihan dan peluang terbaik untuk bertanding,” katanya kepada The Star

.

Beliau pernah berdepan situasi sama ketika bekas pemain badminton, Roslin Hashim dan Ismail Saman meninggalkan BAM untuk berlatih dengannya di bawah kelab profesional Nusa Mahsuri. Kedua-dua pemain tersebut terpaksa membayar penalti akibat tindakan tersebut.

Bercakap mengenai Roslin Hashim, beliau juga telah memberikan pendapat terhadap keputusan Lee Zii Jia dan menyifatkannya sebagai berani. Beliau percaya pemain itu mempunyai sebab kukuh untuk membuat keputusan mengejutkan sebegini.

Muhd Roslin Hashim. FOTO : AFP PHOTO/CARL DE SOUZ

“Pasti dia sudah fikir panjang tentang perkara ini. Saya tidak melihat ia sebagai satu kesalahan dan (beban) perlu diletakkan di bahu Zii Jia saja. Kita kena lihat secara keseluruhan apa punca sebenar,” katanya sewaktu dihubungi oleh Astro Awani.

*

Buat bekas juara dunia Datuk Lee Chong Wei pula, beliau turut mendedahkan bahawa Zii Jia sempat bertemunya demi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum menghantarkan surat perletakan jawatan kepada BAM.

Kata Zii Jia kepadanya, beliau tidak boleh berdepan tekanan yang hebat, namun tidak pula menjelaskan secara terperinci bentuk tekanan yang diterima Zii Jia.

Lee Chong Wei. FOTO : REUTERS/Olivia Harris

“Bagi saya, tekanan yang saya (pernah) hadapi memang kuat, tapi saya jadikannya sebagai satu motivasi. Saya merasainya (tekanan) tetapi saya tukar ia menjadi dorongan untuk saya berjuang demi negara. Lain orang lain caranya.

“Saya tidak tahu macam mana tekanan di BAM ketika ini sebab saya tidak bersama BAM lagi,” ulasnya kepada Astro Awani hari ini. Biarpun menghormati keputusan Zii Jia itu, beliau masih menasihati pemain itu untuk duduk berbincang dengan BAM bagi mencapai titik pertemuan yang akan memenangkan kedua-dua belah pihak (win-win situation).

“Memang kita kadang-kadang ada alasan atau perkara yang ‘tak ngam’ dengan kita. Tapi bagaimana cara kita beri kerjasama kepada BAM; (proses) ‘give and take’ dan dalam dalam apa yang kita buat (pun) bukan 100 peratus betul,” tambah Lee Chong Wei.

*

Terbaru, BAM telah mengumumkan keputusan mereka untuk menggantung Lee Zii jia selama dua tahun daripada bermain untuk Malaysia dalam sebarang kejohanan antarabangsa. Keputusan ini jelas merupakan satu harga tinggi yang perlu dibayar oleh pemain itu dan ia nyata telah mengecewakan ramai pihak.

Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood, mereka telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Zii Jia sejak dia menghantarkan surat perletakan jawatan pada 11 Januari lalu. Begitupun, Zii Jia tetap dengan keputusannya untuk meninggalkan BAM setelah beberapa terma yang dikeutarakan olehnya tidak dapat diterima oleh BAM; selain disebabkan tekanan yang dihadapinya di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sekalipun menggantung Zii Jia, BAM buat masa ini tidak bercadang mengenakan denda ke atasnya dan sedia menerima rayuan pada bila-bila masa sekiranya dia ingin kembali kepada BAM.

*

Buat pemain nombor satu dunia iaitu Viktor Axelsen dari Denmark, penggantungan dua tahun ini tidak dapat diterima olehnya dan menganggapnya satu keputusan yang ‘gila’.

Viktor Axelsen. FOTO : Twitter @YonexAllEngland

Menerusi ciapan di Twitter, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, “Bayangkan anda tidak gembira di tempat kerja sekarang dan anda inginkan perubahan. Anda beritahunya kepada bos dan ingin berhenti lalu mencari tempat kerja baharu.

“Bagaimanapun, bos anda tidak gembira dengan keputusan anda dan memandangkan mereka ada kuasa untuk menghentikan anda daripada mencari kerja dalam bidang anda, mereka akan ambil tindakan itu. Anda pula terpaksa duduk menunggu apa yang akan terjadi kemudiannya.

“Cuba fahamkan betapa gilanya (situasi ini). Sekarang sudah tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita (badminton)?” catatnya untuk memberi sokongan kepada Zii Jia.

Bagi kebanyakan pemerhati sukan badminton pula, penggantungan ini dipercayai adalah ‘taktik’ yang digunapakai BAM untuk secara tidak langsung memberikan amaran kepada pemain kebangsaan lain agar tidak mengikut tindakan Zii Jia ini.

Sumber : (1) (2) (3) (4)

ARTIKEL BERKAITAN : ‘Kerusi Panas’ Ketua Jurulatih Harimau Malaya Diisi Kim Pan-gon, Ini 5 Fakta Tentang Pemilihannya – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ