Itulah sebab orang kata, periksa dahulu sebelum tuduh yang bukan-bukan. Kan dah susah.
Tular di media sosial beberapa hari lalu sebuah video yang menampilkan seorang wanita yang menduduh seorang pemandu lori kononnya berada dalam keadaan mabuk.
Ini setelah pemandu lori tersebut melanggar beberapa buah kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan terbabit. Dengan nada marah, wanita tersebut menggunakan kata-kata yang agak kasar ketika membuat pertuduhan tanpa terlebih dahulu memeriksa keadaan sebenar pemandu lori tersebut.
Lantas setelah salah seorang rakan mangsa tampil ke hadapan, dia menjelaskan bahawa rakannya itu telah terkena serangan jantung sewaktu berada di tempat duduk pemandu dan akhirnya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (bukan kerana melanggar kereta-kereta yang ada di situ tetapi kerana penyakitnya itu).
Perkara ini disahkan lagi oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar yang memaklumkan mangsa meninggal dunia disebabkan ‘Myocardial Infraction’. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berikutan tersalah tuduh, warganet pantas mengecam sepasang suami isteri yang dikatakan menuduh tanpa memeriksa fakta dengan teliti.
Bagaimanapun, mereka kini menafikan bahawa mereka adalah perakam video kemalangan itu.
Sebaliknya, wanita itu katanya hanya memuatnaik semula video berkenaan di akaun TikTok selepas menerimanya melalui aplikasi WhatsApp.
Tambahnya lagi, kereta yang dilanggar oleh lori itu bukanlah keretanya dan suara dalam video itu memang bukan milik wanita itu. Demi meredakan keadaan, wanita yang juga merupakan pemilik akaun TikTok @mubarakkhan1535 itu telah meminta maaf kepada keluarga pemandu lori terbabit sambil menegaskan bahawa bukan dirinya yang merakam video tersebut.