Laporan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan golongan pelajar sehingga mencetuskan kluster institusi pendidikan semalam telah memberikan kegusaran kepada orang ramai terhadap keselamatan warga sekolah.
Adakah kita benar-benar bersedia untuk membuka sesi persekolahan – biarpun dengan norma baharu – pada setiap hari mirip sebelum ancaman Covid-19 melanda negara dua tahun lalu?
Lapor media sehingga semalam, di antara kluster baharu COVID-19 ynag tercetus semalam telah melibatkan 11 orang pelajar perempuan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin di Jasin, Melaka. Manakala, sejumlah 76 pelajar telah disahkan positif COVID-19 di Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil; iaitu membabitkan 71 pelajar lelaki dan lima orang pelajar perempuan.
Semuanya berlaku dalam tempoh sehari saja.
Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Jasin Melaka
Ia bermula daripada seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dikesan positif pada 13 Januari 2022. Susulan itu, 70 orang pelajar lain yang menginap di asrama yang sama telah disaring dan hasilnya, 10 daripada mereka turut disahkan positif. 26 orang disahkan negatif manakala 33 orang lagi sedang menunggu keputusan.
Sehingga semalam, institusi tersebut masih beroperasi seperti biasa. Namun sekiranya jumlah pelajar yang positif meningkat, ia akan diarahkan untuk ditutup buat sementara waktu.
Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil
Kluster tercetus apabila seorang pelajar perempuan juga berusia 16 tahun didapati bergejala selepas mendaftar masuk ke asrama pada 9 Januar 2022. Hasil ujian kendiri yang dilakukan mendapati dia postif tidak lama kemudian dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah ada menerima laporan daripada seorang tenaga pengajar kolej tebabit mengenai berita tersebut.
Lantas, sejumlah 455 orang termasuk 118 guru dan warden telah diminta menjalani ujian kendiri dan malangnya, jumlah mangsa yang dijangkiti sama ada daripada pelajar terbabit atau dari sumber lain adalah cukup ramai.
*
Biarpun hidup harus diteruskan dan sesi persekolahan tidak mampu lagi untuk diadakan secara atas talian sehingga bila-bila demi kebaikan para pelajar dan warga pendidik; namun risikonya tetap ada. Faktor utama berlakunya penularan besar-besaran seperti ini dalam tempoh waktu yang singkat tidak lain tidak bukan adalah disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) secara sengaja ataupun tidak sengaja di kawasan orang ramai.
Pada pihak pelajar terutamanya, kita sentiasa berikhtiar untuk menjauhkan diri daripada risiko wabak berjangkit seperti ini dengan menerima dos lengkap vaksin dan menjaga SOP yang ditetapkan sentiasa. Selalulah menjaga kebersihan diri dan lakukan ujian kendiri secara berkala.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.