Isu pemandu kenderaan berada dalam keadaan mabuk acapkali dibicarakan. Hal ini kerana sudah ramai yang menjadi mangsa sehingga ada kes kematian.
Perkara tersebut menjadi kemarahan orang ramai kerana sikap individu yang mabuk dan tidak bertanggungjawab ini benar-benar menyusahkan banyak pihak.
Atas sebab itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.
Berdasarkan garis panduan baharu itu, minuman keras yang memabukkan tidak lagi boleh dijual kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina mulai 1 Oktober 2021.
Untuk maklumat, premis-premis seperti yang disebut masih dibenarkan menjual bir setelah larangan berkuat kuasa, tetapi hanya dari jam 7 pagi hingga 9 malam dan perlu memastikan minuman beralkohol dipamer berasingan dari minuman lain serta mengunci ruang rak pameran selepas jam 9 malam.
Berusia 18 Tahun Ke Atas
Tidak hanya itu, pembeli mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Manakala pasar raya, hypermarket, hotel, bar, dan pub masih dibenarkan menjual minuman keras, tetapi perlu memastikan bahawa pelanggan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.
Malah, penguatkuasaan ini bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menetapkan had waktu minuman beralkohol yang boleh dijual mengikut jenis premis dengan pemohon atau pemegang lesen hanya untuk bukan Muslim.
Sebelum ini, UAE mengumumkan beberapa perubahan pada hujung minggu lalu demi menarik perhatian pelabur dan pelancong asing terutamanya dari negara Barat terhadap pengambilan alkohol di tempat awam yang kini bukan lagi satu bentuk kesalahan di sana…huhuhu
So, korang rasa inisiatif DBKL ini bagus atau tidak dalam membendung masalah kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk ini?
Sumber : Facebook DBKL
Rakyat Malaysia Terlalu Obses, Remaja Paling Mudah Kena Tipu Dalam Pembelian Telefon Bimbit
Jika tertinggal telefon bimbit di rumah, kita akan sanggup berpatah balik mengambilnya. Telefon seakan sudah menjadi “nyawa” bagi kebanyakan orang. Memegang telefon bimbit di meja makan juga pemandangan biasa termasuk mak ayah yang tak lepaskan peluang, seolah-olah tiada masa lagi.
Disebabkan terlalu obses dengan telefon bimbit, rakyat Malaysia dikatakan sebagai pengguna telefon bimbit ketiga tertinggi di Asia Pasifik serta melebihi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, menurut laporan terbaru firma kajian pengguna Nielsen.
Hah! Tengok, betapa obsesnya kita dengan telefon bimbit ini seolah-olah tiada masa esok untuk melihatnya.
Kalau mak ayah pun sama, jangan ceritalah golongan remaja, memang boleh “pecah” skrin sebab belek terlalu lama. Tak main games, tengok Instagram dan macam-macam lagi. Betul tak?
Laporan Memahami Pengguna Telefon Bimbit Asia itu menunjukkan trend terkini dalam pemilikan telefon pintar serta sikap pengguna di sembilan negara Asia Pasifik termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Australia, Hong Kong, China, India dan Singapura.
Malaysia mencatatkan kadar penembusan telefon pintar 80 peratus selepas Hong Kong dan Singapura (87 peratus), diikuti Australia (75 peratus) dan China (71 peratus).
Laporan itu juga menunjukkan penggunaan telefon bimbit di Asia Pasifik terus mencatatkan pertumbuhan berganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penggunaan telefon pintar di pasaran membangun juga mula meningkat. Thailand mencatatkan kadar penembusan 49 peratus diikuti Indonesia (23 peratus), India (18 peratus) dan Filipina (15 peratus).
Rakyat Malaysia paling ramai memiliki lebih daripada satu telefon bimbit
Jumlah pengguna yang memiliki beberapa telefon bimbit juga semakin meningkat di rantau Asia Pasifik, terutama di Malaysia, di mana hampir separuh atau 47 peratus pengguna memiliki lebih daripada satu telefon bimbit, diikuti Hong Kong (31 peratus) serta Singapura dan China (29 peratus).
Selain telefon pintar, penggunaan tablet juga dilihat semakin meningkat di pasaran rantau ini berbanding tahun lalu, dengan Singapura mencatatkan peningkatan hampir 30 peratus kepada 47 peratus, Hong Kong (57 peratus) dan Malaysia (42 peratus).
“Pertumbuhan dalam pemilikan peranti yang boleh disambung kepada internet di Asia Pasifik begitu besar sejak beberapa tahun ini.
“Walaupun graf pertumbuhan ini dijangka akan mula mendatar, penggunaan peranti ini akan terus berkembang dan memberikan peluang yang sangat besar kepada organisasi untuk berhubung dengan pengguna melalui platform ini,” menurut Pengarah Amalan Telekomunikasi dan Teknologi Asia Tenggara Nielsen, Sagar Phadke.
Menurutnya, menjadi semakin penting bagi syarikat untuk membangunkan strategi mudah alih yang canggih bagi mengambil peluang daripada trend terbaru ini. (sumber SH – 2015).
Remaja Paling Mudah Kena Tipu
Penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian semakin menjadi trend. Namun di sebalik keghairahan membeli, kita tentu tidak begitu teliti dan begitu mudah mempercayai apa yang tertera di laman web dinyatakan.
Sumber polis memaklumkan, kebanyakan pembeli telefon bimbit terdiri daripada remaja yang membuat pembelian secara online tanpa pengetahuan ibu bapa.
Hanya pandang pada harga murah, nampak cantik, telefon berjenama, menjadikan remaja paling mudah kena tipu apabila membuat tempahan telefon bimbit secara dalam talian.
Hari ini akhbar Sinar Harian melaporkan, seorang wanita, Dayang Fitamma Abdullah, 25, bengang apabila rumahnya dijadikan alamat palsu pembelian telefon bimbit. Masa yang sama, dia bukan penjual dan tak pernah menjalankan apa-apa perniagaan telefon.
Bayangkan, iPhone 5 hanya dijual pada harga serendah RM450 tetapi alamat digunakan adalah rumahnya di Taman Air Manis, Sabak Bernam, Selangor.
Kata Dayang, alamat rumah sewanya telah digunakan pihak terbabit untuk menipu pelanggan. Sehingga kini seramai tiga pelanggan telah ditipu pihak terbabit menggunakan alamat rumah yang disewanya sejak Mei lalu.
“Saya kesal bila alamat rumah sewa kami telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pelanggan. Saya tak sangka didatangi pelanggan yang ingin menuntut dan melihat iPhone kononnya diiklankan di rumah kami,” katanya.
Menurut Dayang, kegiatan itu mula dikesan sejak Julai lalu dan tiga pelanggan yang ditipu pihak terbabit pula tinggal di luar daerah Sabak Bernam.
“Mereka datang jauh seperti dari Shah Alam dan Bagan Datoh semata-mata nak menuntut iPhone dijanjikan. Sebaik sampai ke rumah saya, mereka kecewa apabila gagal berhubung dengan penjual terbabit,” katanya.
Katanya, suspek juga dipercayai menukar modus operandi dengan menjual kamera bagi mengaburi pelanggan.
“Saya percaya, kegiatan ini dilakukan pihak sama untuk menipu mangsa dengan gunakan alamat rumah kami bagi dapatkan wang,” katanya.
Jelasnya, dia turut menyamar menjadi pelanggan dan pihak terbabit turut berikan nombor akaun bank untuk urusan jual beli. Saya bimbang lebih ramai tertipu dengan memasukkan sejumlah wang kepada penjual sedangkan barang dibeli itu tidak diperoleh,” katanya.
Tambahnya, tujuannya mendedahkan kegiatan itu bagi beri kesedaran kepada orang ramai agar tidak mudah beli barangan dalam talian.
Selain itu katanya, dia sekeluarga bimbang sesuatu tidak diingini berlaku melibatkan tuntutan pihak lain.
“Walaupun tak pernah berlaku pertengkaran dengan tiga mangsa penipuan terbabit, tapi saya risau kalau ada pembeli lakukan tindakan luar kawalan terutama jika suami tiada di rumah.
“Saya nak tegaskan kami tak pernah terlibat apa jua perniagaan di internet dan merayu pihak terbabit hentikan penggunaan alamat rumah sewa saya,” katanya.
Apa yang penting, belilah di kedai yang diyakini serta dilantik sebagai pengedar bertauliah. Itu lebih selamat dari ditipu oleh penjenayah yang “faham kehendak” dan melayan kegilaan rakyat Malaysia terhadap telefon bimbit.
Senarionya, rakyat negara ini memang suka pada berjenama, cantik dan paling penting murah harganya sehingga tak masuk akal. So berhenti belajar dari kena tipu terus ya!
Teguran Sahur Menteri Hal Ehwal Agama Buat Aliff Syukri, Minta Padam Video ‘Kelepok Raya’
Selepas meluangkan tempoh seminggu lepas untuk mempromosikan single lagu Aidilfitri terbarunya, Dato Sri Aliff Syukri Kamarzaman pada pagi tadi telahpun menerima ‘teguran Sahur’ oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Datuk Idris Ahmad berhubung video muzik penuh kontroversi milik usahawan kosmetik tersebut.
Kata Idris, beliau terpanggil untuk mengulas mengenai isu video muzik berjudul Kelepok Raya itu berikutan kemunculan beberapa watak penari yang mengiringi Aliff Syukri dalam perlakuan yang menjauhi adab masyarakat timur serta ajaran Islam sendiri.
Pada ketika umat Islam sewajarnya mengejar kelebihan 10 malam terakhir di bulan Ramadan dan mengutip sebanyak mungkin pahala yang ditawarkan, isu yang menyentuh sensitiviti beerkaitan agama dan batasan dalam berhibur ini tidak sepatutnya berlaku. Tambahan pula apabila masyarakat baru bersedia untuk pulih daripada bala wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Nasihat beliau adalah agar video muzik seumpama Kelepok Raya ini dipadamkan daripada mana-mana platform media, atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi.
“Sebagai tindakan awal, klip video ini telah saya rujuk kepada JAKIM untuk dibawa ke pihak berkuasa. Saya yakin ia mampu memberi jiwa yang besar dan hati yang lebih lapang jika kita patuh pada ajaran serta nilai agama yang tidak rugi pun jika kita turuti. Malah insyaAllah, Allah akan melapangkan lagi rezeki kepada kita atas patuhnya kita kepada Allah SWT,” catatnya.
Beliau turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Aliff Syukri sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama umat Islam bagi membincangkan perkara berkaitan.
Dalam waktu yang sama, beliau menasihati agar rakyat Malaysia secara amnya untuk berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi kebaikan semua pihak.
Video single Kelepok Raya yang dinyanyikan oleh Dato Sri Aliff Syukri dan Datin Sri Shahida kini berada di tangga pertama video trending di Malaysia dengan jumlah tontonan hampir 812,000 (setakat artikel ini dikarang) dan diterbitkan oleh Rusa Music.
Sumber : Facebook Rasmi Idris Ahmad
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Patutnya Jannah Ambil SPM Kertas Sastera Pagi Ini…” Pelajar Lemas Asyik Tanya Tarikh 26 November, Rupanya Ada Petanda
Rasa rindu yang sarat membuatkan air mata Sabariah Labachok @ Abd Rahman tumpah. Rindu teramat sangat kepada anak ketiganya, Nurul Jannah yang sudah menemui sang pencipta sejak lebih seminggu lalu.
“Hari ini sepatutnya adalah hari terakhir Jannah duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek yang sangat dia minat iaitu Sastera. Tapi Allah lebih menyayanginya,” kata ibu yang terus menyeka air matanya dari mengalir laju.
Memaklumkan yang arwah anaknya itu menyasarkan memperoleh keputusan A bagi subjek Sastera, bagi Sabariah dia hanya mampu menerima kejadian ini dengan hati yang redha.
“Sebelum kejadian, Jannah ada beritahu dia telah selesai menduduki peperiksaan bagi enam mata pelajaran dan menunggu dua lagi kertas peperiksaan iaitu Sains dan Sastera.
“Hari ini hari terakhir SPM baginya menjawap soalan malah arwah kata seperti tak sabar mahu menjawap. Rupanya kegembiraannya tidak kesampaian sebaliknya yang ada hanyalah kenangan,” katanya yang terus menyeka air matanya.
Menceritakan kembali detik akhir anaknya, kata Sabariah, Jannah selalu bertanyakan tarikh 26 November, seolah-olah ada sesuatu yang penting tentang tarikh tersebut.
“Bila ditanya mengapa dengan tarikh itu kerana 26 November itu bukan hari lahirnya pun tapi Jannah sambut dengan senyuman,” katanya sambil menambah bila anaknya dilaporkan hilang dan lemas selepas terpijak pasir jerlus di pulau buatan dekat perairan Tanjung Piai, Pontian Johor , barulah dia faham mengapa anaknya itu beriya bertanya tarikh tersebut.
“Rupanya Jannah nak beritahu semua orang, tarikh itu tarikh dia menemui sang pencipta,” katanya lagi.
Dalam pada itu Sabariah turut menzahirkan rasa leganya kerana mayat anak ketiga dari lima beradik itu ditemui selepas enam hari hilang bermula Selasa lepas (26 November 2018).
“Selepas enam hari menunggu, saya lega akhirnya anak saya ditemui walaupun dah tidak lagi bernyawa. Saya bersyukur kerana mayatnya ditemui. Sekurang-kurangnya ada pusara untuk saya lawat anak saya bila timbul rasa rindu,” katanya.
Menjelaskan hatinya cukup risau selepas mendapat khabar berita itu, Sabariah berkata, selepas mendapat tahu mengenai kejadian anaknya terjerlus dalam air di pulau buatan itu, hatinya cukup risau namun dia tidak pernah putus berdoa agar anaknya ditemui.
Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut ada menunjukkan perubahan tingkat laku menjadi sangat pendiam selepas pulang dari asrama.
Menceritakan detik kejadian katanya, arwah pulang dari asrama tiga hari sebelum kejadian sebelum meminta izin untuk ke Tanjung Piai bagi bertemu keluarga angkatnya.
“Saya tak sangka Jannah ke laut untuk ke pulau buatan. Sudah banyak kali saya pesan jangan mandi laut sebab cuaca sekarang tak menentu kadang-kadang hujan, bahaya jika ke laut.
“Panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa anak dan rakan mereka yang diterima pada pagi kejadian itu, cukup mengejutkan saya,” katanya.
Sebelum ini, mayat Nurul Jannah ditemui seorang nelayan dalam hutan bakau berhampiran perairan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) kira-kira jam 10.30 pagi, Sabtu lalu.
Jenazah Nurul Jannah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Piai selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh bapa angkat mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa.
Sempat bergurau ke kubur
Gurauan hendak ke kubur oleh arwah sebelum kejadian di pulau buatan itu berlaku masih diingati kakak angkat, Nur Haslin Zam Delaila, 25.
Nur Haslin berkata, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi nyata selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Jannah di pulau buatan akibat terjerlus ke dalam air.
Jelasnya, arwah seorang yang periang dan cukup rapat dengan keluarga angkatnya yang sudah dianggap seperti keluarga kandung.
“Sebelum arwah turun ke laut bersama adik dan empat lagi rakan mereka, arwah sempat bergurau beritahu dia hendak pergi ke kubur.
“Saya anggap itu hanya gurauan. Tak sampai sejam arwah ke laut, saya terkejut selepas dimaklumkan tentang kehilangan Jannah,” katanya sebak.
Dalam pada itu, Sabariah memberitahu arwah anaknya bersungguh-sungguh hendak membantu keluarga dengan bekerja sementara menunggu keputusan SPM kelak.
“Saya sekarang tak bekerja. Dulu kerja kilang, tetapi selepas terlibat kemalangan selepas Aidilfitri lalu, saya sukar untuk berjalan.
“Perbelanjaan dibantu oleh ahli keluarga. Saya juga mempunyai seorang anak kurang upaya,” katanya.
Warta pulau buatan sebagai kawasan larangan
Tidak mahu kejadian menimpa anaknya berulang, Sabariah meminta agar pulau buatan diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam.
Katanya, ramai orang luar yang berkunjung ke Tanjung Piai tertarik dengan pulau buatan yang terletak di tengah-tengah perairan Tanjung Piai dan dikelilingi dengan kapal-kapal dagang.
“Jadikan kejadian yang menimpa anak saya ini sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa depan.
“Pulau buatan bukan tempat makan angin. Ramai tidak tahu keadaan struktur pulau itu tidak kukuh,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN