Aksi hari keempat skuad terjun negara di Hanoi, Vietnam sempena Sukan SEA 2022 menepati ramalan dan harapan rakyat Malaysia apabila mereka menyambar bersih pingat emas menerusi dua acara terakhir.
Atlet terjun lelaki kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh menampilkan persembahan kemas lalu menyumbangkan pingat emas terbaru negara apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal individu.
Dengan pungutan 381.35 mata, Muhammad Syafiq sekaligys mengatasi rakan senegara, Gabriel Gilbert Daim yang memenangi pingat perak dengan 357.30 mata.
Pada sebelah petangnya pula, Nur Dhabitah Sabri bersama rakan sepasukan, Pandelela Rinong telah mengungguli acara 10 meter platform seirama wanita.
Duo tersebut mengumpul 242.14 mata selepas lima terjunan sekaligus menghadiahkan pingat emas kesembilan Malaysia di Hanoi. Pingat perak menjadi milik gandingan pasangan kembar dari Singapura, Ong Sze En-Ong Rei En manakala gandingan Vietnam, Bui Thị Hong Giang-Mai Hong Hanh berpuas hati dengan kutipan 185.25 mata.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.