Syamira Nazir Is Breaking Through : Hijab Bukan Penghalang

Share

 

DEWI REMAJA Breaking Through

MENYINGKAP PERJALANAN TIGA TAHUN YANG DILALUI LIMA DEWI PENYERI ISU MAC 2022 KAMI, SERIBU SATU PERASAAN TERUNGKAP MENGENANGKAN MEMORI MANIS BERSAMA. KELIBAT MEREKA SEMAKIN DIRASAI DALAM LALUAN MASING-MASING. SETIAP SEORANG PUNYA KISAH TERSENDIRI SEBAIK TIRAI DEWI REMAJA 2019 BERLABUH.

ARAHAN SENI: FZ AIMMAN, AZNIZA & MUSTAIZZAH PENGARANG: FZ AIMMAN PENYELARAS: RUZIANA ZAINAL, NOOR AIN NORMAN & FIEZREEN AHMAD JURUFOTO: AZFARINA SULAIMAN UNTUK IDEAKTIV SUNTINGAN: HEZRY ROKMAN PENGARAH KREATIF NADIA ABDULLAH PENERBIT VIDEO JUNIOR: SHERFIQA SHARIDAN JURUVIDEO: IZZUDIN ISMAIL & MUSLIM ABDULLAH SUNTINGAN VIDEO: AMIRUL FITRI SOLEKAN & DANDANAN: AYANG KAMELL BUSANA: GUESS & RIZMAN RUZAINI AKSESORI: HILL TO STREET

 

SYAMIRA NAZIR

BERKONGSI KISAH REALITI DI SEBALIK MISI BREAKING THROUGH MILIKNYA.

“Saya masih diri saya dahulu, cuma dari segi tanggungjawab yang semakin menebal telah mematangkan saya lalu membuatkan saya menjadi seorang yang lebih berani ke hadapan.”

Persona ceria yang dimiliki oleh Syamira Nazir sewaktu bersama-sama meluangkan masa di luar jadual tugasan pada sebagai seorang pengacara masih kekal seperti dulu. Orangnya mudah diajak berbual, apatah lagi bergelak tawa. Usik-mengusik sudah menjadi ‘mainan’ lazim di antara kami. Kata orang, itulah yang menjadi pemangkin kepada keakraban yang terjalin.

Syamira Nazir sebagai salah seorang penghias wajah hadapan Majalah Remaja edisi digital Mac 2022. BODYSUIT & SKIRT
GUESS AKSESORI HILL TO STREET FOTO oleh AZFARINA SULAIMAN untuk IDEAKTIV

Memulakan langkahnya sebagai seorang pengacara usai menamatkan saingan dalam pencarian Dewi Remaja 2019 pada kedudukan pemenang tempat keempat, Syamira terlebih dahulu menemui jodoh dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabilterpilih sebagai salah seorang pengacara program temubual siaran langsung Infiniteen.

Gadis berusia 24 tahun ini kemudiannya mengorak langkah ke program berkonsepkan pendidikan 24 jam pula di mana dia membina nama sebagai pengacara Didik TV kelolaan Media Prima bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Di Infiniteen, saya belajar mendekati perihal remaja. Apabila bersama Didik TV, skop penonton bertambah luas. Dari yang masih di tadika hinggalah ke para ibu bapa serta guru yang turut sama mengikuti program kami pada setiap hari tanpa henti.

“Jadi bila saya perlu mengendalikan program berbentuk pendidikan, saya tetap membuat persediaan sebelum bersiaran agar serba tahu apa yang akan diperkatakan oleh guru jemputan,” kata Syamira yang semakin selesa berada di hadapan kamera.

Menariknya, dia turut diberikan tanggungjawab menimba ilmu serta pengalaman di belakang tabir sebagai pembantu penerbit di Didik TV.

SOLEKAN & DANDANAN TAUFEQ ADAM. BUSANA RIZMAN RUZAINI AKSESORI HILL TO STREET FOTO oleh AZFARINA SULAIMAN untuk IDEAKTIV

Bagi Syamira, dirinya sekarang masih tidak jauh berbeza dengan yang dahulu. Cuma yang pasti, kini dia semakin mengerti akan tanggungjawab yang dipikulnya selaku personaliti televisyen.

“Jujurnya, perjalanan saya dalam pencarian Dewi Remaja dapat saya sifatkan sebagai ‘budak’ yang baru ingin belajar. Dahulunya, rutin saya hanyalah untuk pergi balik dari kelas. Segalanya serta-merta berubah apabila Dewi Remaja membuka landasan untuk saya berjumpa serta berkenalan dengan ramai orang.

“Dunia baharu yang memerlukan saya menguasai skil ‘networking’ dengan orang di sekeliling ini kadangkala masih membuatkan saya seakan tidak percaya bahawa saya adalah sebahagian daripadanya.”

“Kadangkala saya terhibur juga dengan mesej daripada penonton-penonton cilik dari saluran Didik TV. Itu perkara biasa.” FOTO
oleh AZFARINA SULAIMAN untuk IDEAKTIV

Hijab Bukan Penghalang

Penampilan berhijab relatifnya masih terlalu hijau dalam sejarah penganjuran Dewi Remaja. Sejak diperkenalkan pada tahun 1984, hanya pada tahun 2014 landasan dibuka buat gadis berhijab mencuba nasib menyertainya.

Tempoh 30 tahun yang diambil untuk meluaskan skop pencarian kini kepada lebih ramai gadis di Malaysia telah membuktikan Dewi Remaja kian matang dari segi misi pencariannya. Kecantikan stereotipikal tidak lagi menjadi satu-satunya acuan pemilihan. Sebaliknya, kecantikan seseorang peserta kini dinilai dari semua sudut baik personaliti, semangat serta keinginan untuk maju ke hadapan.

Buat Syamira yang mencatat sejarah selaku peserta Dewi Remaja berhijab pertama yang berjaya sampai ke pentas finale pada tahun 2019, rezeki tersebut dianggap sebagai satu jilid baharu buat pencarian ini bagi mengiktiraf bukan hanya gadis berhijab malahan gadis Malaysia secara inklusif. Kecantikan mahupun penampilah seseorang bukanlah satu-satu kayu pengukur. Yang penting, keikhlasan niat peserta itu sendiri.

“Petiklah nama mana-mana Dewi sekalipun, saya percaya kami telah merencana perjalanan sesudah program berakhir dengan cukup baik; sebab kami tahu mata masyarakat sentiasa menilai finalis Dewi Remaja.”

“Cuma apabila saya tampil dengan imej berhijab, tanggungjawab saya semakin meluas iaitu keperluan untuk mewakili golongan tersebut di mata masyarakat awam. Segala tindak-tanduk saya kini perlu seiring dengan imej dibawa,” ulasnya.

(Dari Kiri) : Syamira Nazir, Nina Amin, Shaza Bae, Myra Natasya dan Adriana Ghafar sebagai penghias hadapan Majalah Remaja edisi digital Mac 2022. FOTO oleh AZFARINA SULAIMAN untuk IDEAKTIV

Buat bakal peserta Dewi Remaja 2022 yang telahpun membuka tirai di Johor Bahru sebagai lokasi pertamanya, Syamira mengingatkan agar mereka percaya bahawa peluang yang hadir adalah rezeki daripada Allah SWT.

“Sekiranya rezeki terpilih di dalam pencarian Dewi Remaja ini adalah perkara terbaik untuk diri kita, maka berdoalah agar ia dipermudahkan.”

“Jika perjalanan terhenti sewaktu menyertai Dewi Remaja, berdoalah agar kita dikurniakan satu jalan rezeki yang lebih luas dan tak disangka-sangka bagi membantu orang lain terutama keluarga kita.

“Sesungguhnya aturan Ilahi itu adalah yang terbaik. Seperkara lagi, jadilah diri sendiri,” katanya yang begitu merindui persahabatan yang terjalin di antara dirinya bersama finalis lain dan kru yang terlibat. Ibarat sebuah keluarga baharu yang sentiasa menyokong dari belakang, Syamira menyifatkan jalinan ini cukup istimewa dan tidak mudah didapati di mana-mana.

“Kalau ada berita baik, antara insan terawal yang ingin saya kongsikan bersama tentunya adalah keluarga Dewi Remaja saya kerana saya tahu, mereka sentiasa ada di situ untuk memberikan dorongan.”

*

Adakah anda Dewi Remaja seterusnya? Nantikan kehadiran kami di:

  • Thistle Hotel Johor Bahru, JOHOR (5 & 6 Mac)
  • The Palace Hotel Kota Kinabalu, SABAH (12 & 13 Mac)
  • Vouk Hotel George Town, PULAU PINANG (19 & 20 Mac)
  • Bangunan Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam, SELANGOR (26 & 27 Mac)

Kaunter pendaftaran dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Peserta perlu terlebih dahulu menepati syarat-syarat penyertaan, mematuhi terma uji bakat dan mengisi borang secara atas talian DI SINI.

Peserta juga lengkap vaksinasi, membawa kit ujian kendiri Covid-19 dan melakukan ujian kendiri sebelum memasuki premis uji bakat.

Pesonakan Bintangmu dan jumpa di sana!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ