Selalunya, video berbentuk ‘house tour’ atau ‘room tour’ akan dilakukan untuk berkongsi bahagian tertentu di dalam kediaman atau di dalam kamar tidur seseorang atas permintaan followers di platfor atas talian.
Namun lain pula alasan di sebalik video ‘house tour’ yang terpaksa dilakukan oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersempena cuti Tahun Baru Cina ini.
Menerusi perkongsian di platform media sosialnya itu, beliau berkata tindakannya memuat naik video tersebut adalah gara-gara dakwaan daripada beberapa pihak kononnya beliau memiliki sebuah kediaman jenis banglo yang bernilai jutaan Ringgit.
Justeru atas nama ketelusan dan tidak gentar untuk membongkarkan aset tersebut, Ahli Parlimen Muar itu telah menjelaskan menerusi video tersebut bahawa kediaman itu telah disewanya sejak beliau berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan sebagai menterinya lagi dan ia bukan milik sepenuhnya.
Sebaliknya, ia adalah bangunan sewa yang ditransformasikan menjadi ruang bekerjanya dan sebagai tempat perjumpaan serta bermesyuarat dengan ahli parti Muda yang lain. Ini kerana parti yang baru saja didaftarkan secara sah itu masih belum mempunyai pejabat rasmi.
Relaks sahaja beliau berkata, “Jom saya tunjuk rumah sewa saya,” sebelum menunjukkan satu-persatu ruang di dalamnya.
Bahagian ruang tamu telah dijadikan ruang bekerja dengan skrin monitor jelas dilekatkkan di atas meja kopi yang ada di tengah. Ruang tamu kedua juga dijadikan ruan bekerja lengkap dengan beberapa papan putih yang penuh dengan catatan perbincangan dalam kalangan ahli MUDA.
“Hanya satu bilik sahaja yang saya boleh guna (untuk kegunaan peribadi) kerana yang lain semua sudah dijadikan pejabat.
“Sebab itulah waktu saja jadi menteri dahulu, saya tolak tanah, saya tolak rumah banglo di Putrajaya. Saya sewa saja rumah dan pada masa yang sama, saya juga merupakan menteri pertama yang isytihar segala aset dan segala proses kontrak di Kementerian Belia & Sukan – tender terbuka! Tak ada kepada kroni-kroni,” jelasnya sambil berpendapat tiada apa yang harus ditakutkan olehya.
Ini kerana beliau tidak mempunyai kenderaan mewah, rumah mewah, jam tangan mewah atau secara sinikalnya, saham berjuta-juta secara haram.
“Berani kerana benar. Nak siasat, siasatlah!”
Jujurnya, macam best pula kan ada pejabat di ruang rumah dan bukannya di bangunan komersil seperti kebiasaan. Relaks sedikit hendak bekerja, hehe..
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.