Minggu ini menyaksikan satu pindaan mega dilakukan di parlimen yang diusulkan oleh Menteri Belia & Sukan.
Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan kementerian beliau merekodkan sejarah dalam sistem Perlembagaan Negara apabila usia kelayakan pengundi pada Pilihan Raya Umum yang ke-15 kelak telah diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun.
Hal tersebut nyata mendapat sokongan ramai ahli Parlimen termasuklah di kalangan pemimpin pembangkang. Namun di kalangan remaja dan pelajar pula, masih ada perbezaan pendapat sama ada pindaan itu adalah sesuatu yang relevan buat masa sekarang.
Nampaknya, soal usia pengundi bukanlah satu-satunya isu yang dipandang oleh YB Syed Saddiq pada minggu ini.
Lewat petang tadi, beliau telah memuat naik sebuah video di akaun Instagram untuk bercakap mengenai isu pelajar internship yang tidak dibayar oleh para majikan masing-masing.
Seperti yang korang tahu, program internship menjadi kewajiban dalam kebanyakan kursus pengajian ijazah sarjana muda di Malaysia. Selalunya ia berlanjutan dari 2 bulan ke 3 bulan bergantung kepada bidang dan ketetapan universiti.
Namun, seperkara dilema yang dihadapi oleh pelajar adalah soal bekerja tanpa bayaran. Pertama sekali, penulis pasti yang pelajar/staf intern di Malaysia tidak akan menetapkan had bayaran atau elaun minimum.
Bagi mereka, program internship adalah (a) satu kewajiban dalam program mereka dan (b) merupakan peluang untuk mencari pengalaman bekerja sebagai first timer dalam bidang yang mereka ceburi.
Jadi, soal ‘nak untung melalui internship’ itu seharusnya tiada. Elaun yang diharapkan daripada syarikat majikan hanyalah untuk menampung kos pengangkutan pergi balik, makanan dan mungkin sekali kos-kos sampingan yang minor (seperti cas parkir).
Apabila staf intern tidak diberikan sebarang elaun oleh majikan, secara tak langsung ia akan membebankan pelajar tersebut atau lebih teruk lagi, keluarga mereka yang terpaksa berkorban untuk menampung anak di kawasan bandar.
“Tadi semasa mesyuarat jemaah menteri, saya telah bangkitkan beberapa isu yang akan dibincangkan pada satu sesi kabinet khas untuk anak muda saja.
“Salah satu daripadanya adalah isu program internship tidak berbayar yang dilihat tidak adil bagi pelajar terutamanya di kalangan golongan B40. Isu elaun kosong ini tidak adil bagi mereka yang terpaksa bergelut di bandar selama beberapa bulan,” kata beliau.
Perlu ke kerajaan mewajibkan semua sektor untuk membayar interns?
I agree & will fight for this in cabinet. pic.twitter.com/dp6qqDQF0Z— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) July 19, 2019
*
Di meja editorial REMAJA, kami menyambut baik usaha untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi isu seperti ini yang telah lama dipandang sepi seolah-olah para pelajar semuanya berasal dari golongan berada.