Tahniah adik Syukur. Moga jadi inspiring kepada remaja di luar sana.
Inilah kata orang, tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia tiada siapa tahu. Jika Allah mengkehendakiNya, dia akan beri dalam pelbagai bentuk. Sudah tentu rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk dan tidak terduga dengan akal fikiran manusia.
Tentu ramai yang masih ingat kisah Mowgli Malaysia iaitu Muhammad Syukur Khamis.
Melihat gambarnya yang mampu bermesra dengan kerbau peliharaan ayahnya sejumlah hampir 100 ekor selain keakrabannya dengan binatang lain dan gambarnya memenangi 20 gambar terbaik dunia, nama Syukur terus meniti di hati rakyat Malaysia.
Baru saja menerima anugerah Murid Unggul yang diterimanya dari Pejabat Pendidikan Daerah pada 13 Januari lalu, terbaru, remaja ceria berusia 14 tahun dan bersekolah di SMK Padang Midin, Kuala Terengganu ini, sekali lagi diangkat sebagai Ikon Remaja APM ( acara ini akan berlangsung Mac depan).
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, pengiktirafan kepada Syukur yang juga merupakan kadet Pertahanan Awam itu, bagi membolehkan remaja tersebut menyebarkan aura positif dan memberi inspirasi kepada rakan sebayanya.
Menurutnya, penganugerahan itu akan dibuat pada Perhimpunan Angkatan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-66 yang akan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan.
“Setelah lihat banyak video diviralkan, saya melihat Syukur ada kelebihan yang boleh kita manfaatkan. APM sendiri akan bantu dia dengan memberi lebih banyak pendedahan, supaya pada masa depan dia boleh dibawa ke sekolah-sekolah berhampiran di Terengganu untuk memberikan motivasi kepada pelajar lain.
“Pada masa yang sama, kita tidak mahu dia tenggelam dengan dunia glamor ini, sebab dia masih belajar. Kita nak beri dia pendedahan supaya apabila dia terdedah dengan dunia luar, Syukur akan menjadi lebih yakin dan boleh memberikan semangat balik kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pesuruhjaya APM Bersama Adik Syukur ‘Kampung Boy’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, LT. KOL (PA) Che Adam A.Rahman dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Roslan mengumumkan Syukur dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal dalam kadet Pertahanan Awam.
“Saya harap kenaikan pangkat ini akan menggilap lagi bakat kepimpinan yang ada pada beliau dan menjadi pelajar contoh.
“Selain mempunyai keyakinan yang tinggi, kita harap Syukur akan terus mengutamakan pelajaran dan ilmu serta maju dalam kehidupan dan apa jua bidang yang diceburinya selepas ini,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN