Sukan

Sze Fei-Nur Izzuddin Kini Beregu Lelaki Profesional Nombor Satu Negara

Share

Terbaru, gandingan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merampas kedudukan selaku beregu lelaki nombor satu Malaysia yang sebelum ini dimiliki juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Berdasarkan ranking dunia terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sze Fei-Nur Izzuddin melonjak empat anak tangga ke tempat ketiga selepas mengumpul 85,916 mata yang juga merupakan pencapaian tertinggi dalam karier mereka.

Dalam pada itu, pencapaian ini telah diperoleh susulan prestasi cemerlang apabila muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China pada Ahad lalu.

Kredit: Badminton Photo (Raphael Sachetat)

BACA: Nur Izzuddin-Sze Fei Akhiri Kejohanan WTF Sebagai Naib Juara Dunia. Tahniah!

Sze Fei-Nur Izzuddin membuat penampilan sulung pada kejohanan itu, tewas 17-21, 21-17, 11-21 kepada pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan.

Selain muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024, Sze Fei-Nur Izzuddin turut merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia musim ini iaitu Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka China (Super 1000), dan Terbuka Artik (Super 500).

Sementara itu, Astrup-Rasmussen melangkah ke tangga utama ranking dunia dengan 95,003 mata, menggantikan tempat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, manakala Liang Wei Keng-Wang Chang dari China yang turun ke tempat kedua dengan 93,018 mata.

Bagi beregu negara, Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang gangsa Olimpik Paris 2024 turun satu anak tangga di tempat keenam dengan 82,615 mata.

Kredit: The Star
Kredit: X Chen Tang Jie

BACA: Tang Jie-Ee Wei Muncul Naib Juara Jelajah Dunia Akhir, Bawa Pulang RM445,000

Dalam kategori beregu campuran, pasangan nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mencatat ranking tertinggi dalam karier mereka apabila melangkah ke kedudukan keenam dengan 73,940 mata berbanding sebelum ini di tempat kelapan, selepas pencapaian gelaran naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula mendaki ke tempat ketujuh daripada tangga ke-10 selepas mengumpul 71,470 mata manakala pasangan dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping kekal di kedudukan teratas dengan 98,700 mata.

Kredit: Badminton Photo (Raphael Sachetat)
Kredit: Badminton Photo (Yohan Nonotte)
Kredit: Badminton Photo (Mikaël Ropars)

BACA: Jaguh Badminton Negara, Lee Zii Jia Kini Nombor Empat Dunia!

BACA: Skuad Remaja Negara Raih Gangsa Dalam Acara Berpasukan Campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024

Seterusnya, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia turut naik memperbaiki kedudukannya apabila menghuni tangga keenam dengan 79,016 mata berbanding tempat kelapan sebelum ini.

Dalam pada itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan kedudukan mereka di tempat keenam untuk minggu kelima berturut-turut selepas mengumpul 79,016 mata, di belakang Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China yang mendahului carta dengan 102,746 mata.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE