Tahniah Aqil Zulkiflee! 5 Fakta Tentang Pemenang YouTuber Popular ABPBH-34 Ini

Share

Isi Kandungan

Toggle

 

Malam anugerah yang mengangkat undian daripada peminat iaitu Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 kembali dilangsungkan pada malam ini bagi mengangkat seorang (atau sekumpulan) selebriti paling popular tanah air sepanjang tahun lepas.

Di samping 14 kategori utama yang dipertandingkan, ABPBH-34 turut menampilkan beberapa kategori online selari dengan kerancakan dunia digital terutamanya media sosial. Menerusi kategori YouTuber Popular iaitu sebuah kategori khas buat penggiat kreatif dunia maya, beberapa calon popular dalam kalangan generasi Y dan Z telahpun bersaing termasuklah calon popular seperti Azfar Heri, Baby Shima, Alieff Irfan, Bella Khan, Syahmi Syazli, Princemeed, Ustaz Ebit Liew dan ramai lagi.

Namun, rezeki nyata berpihak kepada calon muda, Aqil Zulkiflee. Semasa dicalonkan pun, remaja ini tidak langsung menyangka bahawa anugerah berprestij seperti ABPBH akan mengiktiraf dirinya dan kreativitinya selama ini melalui pencalonan awal.

Apatah lagi setelah dinobatkan sebagai pemenang YouTuber Popular malam ini, tentunya Aqil bersyukur dan berterima kasih kepada para pengikut dan penonton setianya di YouTube atas usaha keras mempergiatkan undian buatnya selama sebulan ini.

“Aqil nak ucapkan terima kasih banyak semua yang dah mengundi Aqil yang banyak kali mengundi setiap hari untuk pastikan Aqil menang. Aqil hargai sangat semua yang sokong Aqil dari awal buat YouTube sampailah sekarang. Trofi ini untuk #KitaBersama okay,” catatnya di Instagram.

Bagi korang yang tidak begitu familiar dengan Aqil Zulkiflee, jom kita lihat lima fakta menarik mengenainya.

 

01

Aqil memulakan saluran YouTube-nya pada September 2015. Namun, dia mulai aktif menghasilkan kandungan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu kerana merasa bosan perlu terkurung di rumah. Siapa sangka, ia terus mendapat sambutan baik daripada penonton. Aqil yang mula dikenali menerusi kandungan tular di Instagram mula serius di YouTube sejak itu.

 

02

Dalam tempoh yang singkat, Aqil telah memperolehi lebih 1.3 juta subscribers dalam masa lebih kurang setahun saja. Bukan setakat berjaya dari segi jumlah penyokong saja, rezekinya juga bertambah murah apabila lebih banyak peluang kerja menghampirinya di luar dunia YouTube.

 

03

Sejak bertambah popular ini, remaja berusia 25 tahun ini juga telah menerima penghargaan daripada YouTube. Silver Play Button dan Gold Play Button yang menjadi idaman semua pencipta kandungan di YouTube telah diperolehinya. Ia sekaligus memjadikannya lebih bersemangat untuk memulakan dua saluran YouTube iaitu Aqil Zulkiflee Gaming & Aqil Zulkiflee Shorts. Oh, patutlah dapat banyak undian malam ini! Pandai Aqil mencuri tumpuan daripada pelbagai golongan termasuklah gamers.

 

04

Menerusi pendapatan sebagai pencipta kandungan di YouTube, Aqil bersyukur apabila dia berjaya membuka sebuah kafe di Pasir Gudang, Johor. Bukan setakat itu, dia juga mampu membeli sebuah rumah dan memiliki kerata yang diidam-idamkannya. Ini semua demi membalas jasa ibu bapanya yang tidak lagi perlu berhempas-pulas untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

 

05

Tapi semua itu tidak datang dengan mudah tau. Aqil merasakan tekanan apabila penonton setianya akan mengharapkan sesuatu yang berbeza dan lebih menghiburkan dari semasa ke semasa. Tambahan pula, kandungan, idea video, proses penggambaran dan proses menyunting video juga memenatkan dek kerana semuanya perlu dihasilkan sendirian. Aqil juga perlu menguruskan kempen bersama klien yang melantiknya. Apapun, kerja keras tersebut nyata berbaloi setelah memperolehi kategori YouTuber Popular pada malam ini.

*

ABPBH-34 dibawakan oleh penaja utama, Xiaomi secara langsung pada malam ini daripada Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di saluran TV3 dan YouTube TV3Malaysia Official.

Published by
FZ