Berita

Tahniah! Emina Kulasic, Pempengaruh Cemerlang Terima Anugerah Pelajaran Diraja UUM

Share

Terbaru, pempengaruh media sosial, Emina Kulasic Bong Ei Min menasihatkan golongan muda supaya memberikan keutamaan kepada pendidikan demi jaminan masa depan setelah menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Utara Malaysia (UUM) di Majlis Konvokesyen UUM ke-37 pada Ahad.

Menurut Emina yang merupakan graduan dalam bidang Pengurusan dan Hal Ehwal Antarabangsa, keutamaannya tetap kepada pendidikan dan kerjaya pempengaruh hanyalah sebagai alternatif atau pilihan kedua.

“Nasihat saya, jangan jadikan impian untuk menjadi ‘influencer’ sebagai matlamat utama. Saya sendiri tidak pernah sasarkan hal ini. Pendidikan seharusnya menjadi tumpuan utama”

Kredit: Instagram @bong_eimina
Kredit: Instagram @bong_eimina

“Melalui pendidikan, kita boleh mencapai lebih banyak, menginspirasi orang lain dan berkongsi ilmu. Itu langkah pertama yang paling penting,” katanya.

Gadis yang berasal dari Sarikei, Sarawak dan dibesarkan oleh makciknya itu berkata, penglibatannya di dalam media sosial adalah kerja sampingan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda tentang pentingnya pendidikan formal.

“Apabila kita berusaha untuk memperbaiki diri melalui pendidikan tinggi, orang lain juga akan terdorong untuk melakukan hal yang sama. Bila masyarakat terdorong untuk mengejar pendidikan dan perkembangan diri, mereka akan ikut teladan yang baik,” ujarnya yang kini mempunyai 59,300 pengikut di TikTok.

Kredit: Instagram @bong_eimina

Berkongsi mengenai pembahagian masa, Emina juga aktif sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, selain itu pemilihan bidang yang diminati adalah cara terbaik untuk berjaya selain mendapat kerjasama baik daripada pensyarah dan juga rakan kuliahnya.

Dalam pada itu, dia turut menunjukkan prestasi kepimpinan cemerlang apabila diiktiraf sebagai penerima Anugerah ‘Most Diplomatic Minister’ dalam ASEAN Foundation Model ASEAN Meeting yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja terdahulu.

Kredit: Instagram @bong_eimina

Sekadar info, penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima RM 4,000 berserta sijil. Turut hadir, Sultan Kedah Al Aminul Karim, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli untuk merasmikan sesi pertama daripada lima hari konvokesyen.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE