
Tahniah diucapkan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W), sekaligus membawa gelaran ‘Datuk’.
Perkembangan tersebut diumumkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia melalui hantaran di Facebook rasmi mereka pada Jumaat, 7 Mac 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenali SYED SADDIQ, Alumni MTD & Pendebat Terbaik Asia!
“Setinggi-tinggi tahniah daripada seluruh warga Jabatan Penerangan Malaysia diucapkan kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) membawa gelaran Datuk oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” tulis jabatan itu.
Perkongsian ini sekali gus mendapat perhatian warganet yang memeriahkan ruangan komen dengan ucapan tahniah buat Fahmi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Dari Dunia Akademik & Teater ke Dunia Politik
Sebelum menapak dalam dunia politik, Fahmi Fadzil dikenali sebagai seorang yang berbakat dalam seni kreatif dan teater.
Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat. Selain itu, beliau juga aktif sebagai penulis dan pelakon teater, menyumbang kepada industri seni di tanah air.
Karier politik Fahmi bermula apabila beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2010, dan dilantik sebagai jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan.
Pada awal pembabitannya, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Nurul Izzah Anwar, yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR.
Fahmi Fadzil: Pemimpin muda yang berjaya

Fahmi kemudian menonjol sebagai salah seorang pemimpin muda yang berpotensi besar dalam PKR. Kejayaan beliau dalam arena politik semakin ketara apabila beliau mengejutkan ramai pihak dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berjaya menewaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dan merampas kerusi Lembah Pantai.
Dengan gelaran Datuk yang baru diterimanya, ini adalah satu pengiktirafan terhadap usaha dan jasa Fahmi dalam dunia politik, serta dedikasinya untuk memajukan negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Jabatah Penerangan Malaysia