Pertama sekali REMAJA ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Politeknik Malaysia dan pelajarnya yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selepas menggondol sejumlah 14 pingat di 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018!
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada pelajar-pelajar lelaki dan wanita Politeknik Malaysia dilaporkan telah selamat pulang ke tanah air semalam.
Kejayaan meraih sebanyak 9 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa turut mencuri perhatian Menteri Pendidikan, Maszlee Malik. Beliau telah memuat naik ucapan tahniah menerusi Twitter-nya.
“Politeknik Malaysa sekali lagi mengharumkan nama negara dengan merangkul 14 medal di 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018 di University of Feng Chia, Taiwan. Kemahiran dan pengetahuan kalian dalam teknologi robot begitu membanggakan. Tahniah semua dan saya doakan kalian terus berjaya”.
Ini bukanlah kali pertama pasukan Politeknik Malaysia meraih kejayaan seumpama ini. Pada kejohanan edisi 2016 yang berlangsung di Beijing, China pasukan negara berjaya merangkul sebanyak 18 pingat dengan 6 pingat emas, 8 pingat perak dan empat pingat gangsa.
Manakala pencapaian pada tahun lalu yang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan, skuad negara membawa pulang sebanyak 4 pingat emas.
Kejayaan meraih 9 pingat emas pada edisi kali ini membuktikan peningkatan yang cukup ketara telah berjaya dipamerkan oleh mereka. Mereka yang layak digelar Wira dan Wirawati negara di kejohanan bolasepak robot ini merrupakan inspirasi buat golongan remaja dan muda yang mempunyai minat dalam bidang kejuruteraan robotik.
Antara pingat emas yang diraih oleh Politeknik Malaysia di kejohanan terulung ini ialah menerusi kategori Hurocup Triple Jump, Androsot Soccer dan Robosot Soccer.
Untuk pengetahuan kamu, Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) telah mula menganjurkan pertandingan bolasepak robot dan beberapa jenis sukan robot yang lain bermula dengan edisi pertamanya pada tahun 1996.
Matlamat utama FIRA ialah untuk menggalakkan kajian dalam bidang robotik, penbelajaran mesin, visi komputer dan kecerdasan buatan (A.I) dengan menggunakan robot sebagai platform utama. Manakala matalamat kedua mereka pula menggalakkan pelajar dalam bidang teknologi kejuruteraan mencabar kreatviti serta menyediakan mereka dengan pelbagai cabaran sebelum melangkah ke dunia kerjaya.
Sekali lagi, setinggi-tinggi ucapan tahniah buat Politeknik Malaysia di atas kejayaan ini. Semoga kejayaan luar biasa ini menjadi inspirasi buat pelajar-pelajar dan juga golongan remaja yang mempunyai aspirasi serta cita-cita dalam bidang robotik.
Foto: Politeknik Malaysia