Putera sulung pelakon terkenal tanah air, Datuk Aaron Aziz, Danish Anaqi baru-baru ini telah berjaya menamatkan pengajian pra diploma setelah tiga tahun menuntut ilmu di negara matahari terbit, Jepun.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram (IG) dan TikTok, Aaron meluahkan rasa syukur dengan berkongsi momen-momen semasa dia dan keluarga hadir ke majlis konvokesyen cahaya mata tersayangnya itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Isteri Aaron Aziz ‘Share’ Resipi Kuetiau Goreng Dimakan Syamsul Yusof, Sampai Tambah 2 Kali!
“SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakhbar. Terima kasih Allah kerana melindungi anak saya untuk tiga tahun ini. Danish, Daddy sangat bangga, gembira dan bersyukur.
“Awak dah capai banyak perkara yang tidak pernah Daddy capai dan awak akan lebih berjaya lagi selepas ini. Awak lalui semua halangan, ujian dan kesusahan dan telah memberi inspirasi kepada orang lain,” coretnya.
Pelakon filem hit KL Gangster itu turut menitipkan pesanan kasih sayang buat puteranya itu agar mengimbangi antara kejayaan di dunia dan juga di akhirat.
“Apa yang Daddy minta daripada awak adalah untuk berjaya di akhirat juga dan itu akan menggembirakan Daddy lebih dari segala-gala yang ada di dunia ini.
“Menjadi anak yang soleh, tak tinggalkan solat dan terus berdoa dan miliki akhlak yang baik serta disayangi Allah dan ikut ajaran junjungan kita Rasulullah SAW,” ujarnya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet turut berkesemopatan mengucapkan tahniah kepada anak pasangan tersebut sambil berseloroh mengatakan wajah Danish seperti orang Jepun.
Untuk rekod, Aaron mendirikan rumah tangga bersama Diyana pada tahun 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Aaron Aziz
Cemerlang & Peramah, Dhabitah Sabri Dipilih Bawa Jalur Gemilang Di Sukan SEA Vietnam
Aksi cemerlang yang diperagakan oleh Nur Dhabitah Sabri pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu telah menjadi salah antara faktor di sebalik pemilihan penerjun kebangsaan remaja itu sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi temasya Sukan SEA Hanoi, Mei ini.
Dhabitah, 23 yang mesra disapa sebagai Bitah bakal mengetuai kemasukan kontinjen Malaysia dalam upacara pembukaan Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei kelak.
Terdahulu pada upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Bitah pernah muncul sebagai atlet wanita pertama yang dipilih untuk menyalakan obor dalam sejarah Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA. Kalau korang masih ingat, Bitah lah yang telah ‘terbang’ untuk menyalakan obor di tengah Stadium Nasional pada waktu tersebut.
Kali ini, penghormatan lain pula telah diberikan kepadanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Selain Suka Tersenyum, Menarik Tentang Atlet Terjun Negara Dhabitah Sabri – REMAJA
Mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bukan saja cemerlang di Sukan Olimpik setelah menamatkan saingan dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita di kedudukan kelima terbaik.
Penampilannya sebelum ini di Sukan Komanwel 2018 Gold Coast (dua gangsa) dan Sukan Asia 2018 Indonesia (dua gangsa) juga diambil kira semasa pemilihan dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Kata Presiden MOM iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sewaktu majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia 2022 yang ditaja oleh Yonex, bukan hanya pencapaian Bitah yang wajar dijadikan pemacu semangat atlet lain. Malahan, personalit Bitah yang mudah didekati dan peramah juga dilihat melambangkan semangat kontinjen negara.
Dalam pada itu, Bitah menerusi hantaran video oleh MOM memaklumkan dirinya menyasarkan untuk memenangi dua butir pingat emas. Ia adalah menerusi acara 1 meter papan anjal individu dan acara 10 meter platform seirama.
“Terima kasih kepada MOM kerana memilih saya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Sea Hanoi.
“Kepada anda semua, berilah sokongan kepada atlet negara. Dan buat rakan atlet yang lain, semoga maju jaya dan Malaysia Boleh!” laungnya.
All the best Bitah!
BACA LAGI : Dhabitah Sabri Kini Bergelar Mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Jurulatih Hendrawan Beri Kasut Kepada Pemain Jamaica, Tonjol Semangat Sukan Sebenar
Pujian membanjiri platform media sosial pada hari ini setelah jurulatih skuad badminton negara, Hendrawan yang kini berada di Birmingham, United Kingdom sempena Sukan Komanwel 2022 tidak ‘berkira’ untuk meminjamkan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts.
Dalam perlawanan di antara Samuel dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong awal pagi tadi, tapak kasut yang dipakai Samuel dilaporkan rosak. Justeru, perlawanan mereka terpaksa dihentikan seketikan.
Samuel dilihat cuba menggunting dan menanggalkan bahagian kasutnya yang terkoyak sebelum meneruskan aksi. Begitupun, jelas keadaan kasutnya itu kurang menyelesakan sehinggalah jurulatih Jamaica datang memberikan kasut sukan rakan sepasukan Samuel.
Rasa tidak selesa masih dirasainya oleh kerana saiz berlainan. Justeru, Tze Yong dan Hendrawan hadir ke tepinya untuk bertanya mengenai saiz kasut Samuel. Hendrawan terus membuka kasutnya lalu ia diberikat kepada Samuel memandangkan saiz dan jenama kasut yang mereka berdua pakai adalah sama.
Tindakan Hendrawan yang mencerminkan semangat kesukanan ini pantas menerima pujian daripada peminat sukan badminton. Apatah lagi, dia tidak kisah untuk hanya memakai stokin putih di belakang gelanggang sepanjang baki perlawanan tersebut.
Pengulas bersukan yang bertugas untuk perlawanan tersebut juga tidak mempercayai tindakan Hendrawan ini.
“Masih sukar untuk saya mempercayai jurulatih Malaysia telah memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts untuk menentang pemainnya sendiri,” katanya.
Tze Yong berjaya menewaskan Samuel dengan kemenangan straight set 21-12, 21-16. Ia melengkapkan keputusan menang 5-0 skuad badminton Malaysia ke atas Jamaica dan berjaya mara ke suku akhir.
Samuel dalam pada itu terus menggunakan kasut Hendrawan itu untuk perlawanan acara beregu pula.
Foto : Tangkap Layar Instagram Bad Live Page
ARTIKEL BERKAITAN : Ini Barulah Namanya ‘Sportsmanship’! Warganet Berterima Kasih Pada Atlet Greece – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022
Isi Kandungan
ToggleTugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana.
arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting video AMIRUL FITRI susunan grafik AZNIZA AZIZ solekan AYANG KAMELL persalinan NEW BALANCE
Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami
Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.
Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – REMAJA
Cabaran Menjadi Penyampai Berita
Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.
“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.
“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.
“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.
“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Kedudukan 40 Terbaik Miss World 2021 Dikenang Dr. Lavanya Sivaji – REMAJA
Minda Terbuka Luas
Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.
“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”
Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.
“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.
“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.
Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.
“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.
Cinta Tersemi Dalam Seni Tarian
Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.
“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.
“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.
“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.
“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.