“Tak apalah ibu, biar kakak mati…

Dua minggu lalu, itulah ungkapan yang diluahkan Farah Natasya Hira Mohd Nizam,13, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik kepada ibu dan ayahnya, Nor Farizan Mokhtar,40, dan Mohd Nizam Razali,42, disebabkan tidak tahan lagi memikul derita ditanggung.

Namun Khamis lepas, kira-kira jam 3.25 pagi, dalam keadaan tenang dia pergi buat selama-lamanya bagi menemui pencipta-NYA disamping ibu dan ayahnya, Nor Farizan Mokhtar, 40, dan Mohd Nizam Razali,42 di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Berita pemergian remaja ini mengejutkan wartawan Sinar Harian yang pernah melaporkan penderitaan ditanggung Allahyarham pada 19 Disember lalu.

[ARTIKEL BEKAITAN: ‘Takpelah ibu, biarlah kakak mati’]

Berkongsi saat terakhir Allahyarham, Nor Farizan berkata, kira-kira jam 5 petang, anaknya meminta untuk dibawa ke hospital kerana tidak tahan lagi mengalami sesak nafas dan memerlukan oksigen.

“Ketika di hospital dia berbual dengan kami seperti biasa, tapi beberapa kali minta gosok belakang badannya.

“Lebih kurang jam 3 pagi, saya bangun. Sambil baca Yasin, saya usap belakang badannya dan perlahan-lahan dia ‘pergi’ dalam tidurnya yang lena,” katanya.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan sebelum ini bagi membantu meringankan kos perubatan ditanggung.

“ALLAH susun dengan cantik, semuanya dipermudahkan buat kami. Rutin selama 13 tahun berulang alik ke hospital kini tiada lagi,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Farah Natasya Hira disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik ketika berusia dua bulan menyebabkan seluruh anggota badannya mula membengkok sejak dua tahun lalu.

Sumber: SINAR HARIAN