Patutlah Yuna sendiri mencadangkan kolaborasi terbaru bersama jenama tudung tempatan, Putri N. Rex. Yuna berbangga dengan produk keluaran Malaysia.
Jika ingin disenaraikan selebriti kelahiran Malaysia yang telah berjaya membanggakan nama negara di pentas antarabangsa, tidak sah sekiranya pemilik nama Yunalis binti Mat Zara’ai atau Yuna tidak berada dalam kelompok tersebut.
Sedari kemunculannya dalam persada muzik tempatan sekitar tahun 2008 dengan album EP pertamanya, Yuna tidak menoleh ke belakang dan terus memacu momentum untuk mengejar impian agar muziknya dikenali oleh seramai mungkin pendengar dari serta dunia.
Satu persatu projek nukilan Yuna seperti Decorate (2010), Yuna (2012 – dan kegemaran peribadi penulis), Nocturnal (2013), Chapters (2016) dan Rouge (2019) telah mengecapi pencapaian yang membanggakan baik di Malaysia mahupun di luar negara.
Dengan kesemua itu dalam genggaman Yuna, wanita berusia 34 tahun itu tidak sama sekali melupakan Malaysia sebaliknya terus-menerus cuba untuk mengeksplorasi kaedah berkesan bagi membuatkan Malaysia semakin dikenali ramai.
Dalam sesi pengenalan koleksi hijab baharunya bersama jenama Putri N. Rex pada hari ini, Yuna menegaskan bahawa dia tidak sesekali cuba untuk menyembunyikan asal-usulnya.
“Dalam apa jua projek yang saya lakukan, saya akan cuba menitipkan nilai Asia Tenggara terutamanya Malaysia di dalamnya.
“Saya bangga, malah terang-terangan membawa identiti diri saya. This is who I am and this is where I came from.”
“Saya rasakan penting untuk menggunakan apa-apa peluang yang ada untuk memastikan nama Malaysia bersinar di luar sana.
“Projek album Rogue sebagai contoh adalah projek yang banyak menerapkan nilai tempatan. Dalam single pertamanya, Forevermore sebagai contoh, saya masukkan elemen muzik Melayu dan seni syair.
“Kalau ikutkan, saya boleh saja memilih jalan mudah dan rakamkan klip video Forevermore di Los Angeles (tempat Yuna bertapak sebelum pandemik COVID-19). Tetapi saya dan suami merasakan tidak logik untuk kami merakamkannya di sana.
“Saya inginkan muzik saya kedengaran dan kelihatan autentik dan ‘real’. Jadi kami pun mencari lokasi menarik di sekitar Malaysia seperti di Perlis dan di sekitar Lembah Klang. Bukan hanya peminat saya di Malaysia menghargai usaha ini.
“Malah sehingga ke hari ini, ada warga asing yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang lokasi dalam klip video tersebut. They like the lake, the paddy field,” jelas Yuna dalam sesi secara maya itu.
Kalau korang masih ingat, Yuna juga menerapkan kelainan dengan memilih Aquaria Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan Yuna LIVE Concert pada 3 Disember, tahun lalu.
Tambahnya, usaha di luar kotak seperti ini akan menarik minat orang luar untuk melihat identiti Malaysia kita yang berlainan daripada negara jiran.
.
.
Bercakap mengenai kelainan, itulah yang cuba diterapkan dalam koleksi kolaborasi Yuna dengan jenama hijab, Putri N. Rex.
“Sudah lama saya tidak berkolaborasi dengan jenama lokal. Kali ini, tiba peluang untuk saya mengeluarkan koleksi bersama jenama hijab kegemaran saya ini.
“Putri N. Rex lah yang telah banyak memberi sokongan kepada saya sejak awal kemunculan. Mereka jugalah yang menaja hijab untuk acara nikah dan perkahwinan saya dulu.”
Koleksi hijab ini bakal dilancarkan pada 25 Mac ini.