Apabila kita menerima berita kematian yang disampaikan oleh rakan-rakan di media sosial mengenai musibah yang melanda ahli keluarga mereka, pantas tangan kita menulis Al-Fatihah di ruang komen. Ia sebagai tanda simpati yang kita hulurkan untuk rakan-rakan yang sedang kesedihan.
Namun tahukah, tulisan Al-Fatihah sahaja jika tidak dibaca penuh ibu segala kitab yang mengandungi tujuh ayat ini hanyalah satu perbuatan sia-sia sahaja.
Ini kerana walau niat kita baik untuk berkongsi kesedihan namun tulisan Al Fatihah tanpa membacanya umpama perbuatan sia-sia kerana tiada doa disampaikan untuk si mati.
REMAJA menghubungi Ustaz Azhar Idrus yang kini bertugas sebagai Pegawai Di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi mengenai trend menulis perkataan Al-Fatihah sebagai tanda doa untuk si mati.
Menurutnya, perbuatan itu hanya sia-sia sahaja kerana tiada doa yang sampai kepada si mati.
“Untuk menyampaikan doa buat si mati, kita wajib membaca Al-Fatihah ini secara penuh dan bukan menulis perkataan Al-Fatihah sahaja kerana ia tidak membawa sebarang doa untuk si mati.
“Manakala untuk ahli keluarga, kita boleh sampaikan salam takziah di atas kehilangan dan kemudian bacalah Al-Fatihah untuk arwah. Ini adab yang perlu kita tahu,”katanya memaklumkan, menjadi satu fardu kifayah buat kita jika mempunyai kelapangan masa untuk menziarahi si mati.
“Ia satu perbuatan yang mendatangkan pahala apabila menziarahi si mati. Masa yang sama, sebaik-baiknya apabila kita datang menziarah, jangan hanya duduk di luar masjid, surau atau rumah. Biasanya sedekahkah Al-Fatihah dan bacakan Surah Yassin lalu hadiahkan untuk di mati.
“Kemudian apabila urusan mandi jenazah dan selepas dikafankan, bersama-sama kita solat jenazah dan pergi ke tanah perkuburan. Ini baru lengkap sebagai adab menziarahi orang meninggal dunia. Kalau kita tinggal jauh pula, selepas kita bacakan surah Al-Fatihah secara penuh, buatlah solat ghaib sebagai tanda ingatan kita buat si mati yang mungkin kita mengenali semasa hayatnya,” katanya ketika dihubungi.