Jika sebelum ini, drama popular terbitan Primeworks di saluran TV3 akan dimuat naik di YouTube untuk tontonan semua.
Sama ada korang terlepas tonton atau pun ingin mengulangi semula, drama-drama mereka pasti ada di situ.
Pada pertengahan tahun ini, mereka memperkenalkan kolaborasi bersama platform iQIYI kepada penonton yang ingin menonton drama viral, 7 Hari Mencintaiku 2 secara online. Inisiatif ini diikuti dengan drama Kampung People 2, baru-baru ini juga di iQIYI.
Justeru, dengan kemunculan beberapa drama yang sedang hangat ditayangkan sekarang seperti Lelaki Lingkungan Cinta (lakonan Naim Daniel, Shasha Abedul, Ismail Izzani, Aniq Suhair, Cik B, Imran Aqil) serta drama Hati Yang Tersakiti (lakonan Ramy Ishak, Nad Zainal dan Mimi Lana), ramai yang tercari-cari siaran episod baru secara online – baik di YouTube mahupun di iQIYI.
Tapi tak jumpa! Haihh pelik..
Rupa-rupanya, Primeworks Studio dan platform penstriman video, Viu telahpun menandatangani kerjasama perkongsian kandungan. Ini bermakna, dua buah drama Melayu tersebut kini boleh ditonton hanya di Viu.
Drama 15 episod, Hati Yang Tersakiti mula ditayangkan di Viu secara percuma dari 15 Oktober hingga 10 November ini. Manakala drama 13 episod, Lelaki Lingkungan Cinta ditayangkan di OTT Viu bermula 21 Oktober lalu.
*
Secara ringkas, jom lihat sipnopsis dua buah drama yang sedang trending ini.
Lelaki Lingkungan Cinta mengisahkan tentang pasangan remaja Adib (Naim) dan Esya (Shasha) yang berkahwin ketika masih belajar di kolej.
Walaupun Esya pada mulanya tidak pasti untuk meneruskannya atau tidak, Adib yang terkenal dengan sikap nakalnya itu berjaya menyakinkan Esya bahawa dia akan mengubah sikapnya. Zamri (Ismail) mencemburui hubungan itu dan mula menyebarkan khabar angin sehingga Adib mempersoalkan isterinya.
Sementara itu, Hati Yang Tersakiti mengisahkan tentang hubungan rumah tangga Mona (Nad Zainal) daan Haris (Remy Ishak) yang mula dilanda masalah setelah sahabat baik Mona, Farah (Mimi Lana) yang baru bercerai menumpang tinggal di rumah pasangan itu.
So, mana satu drama yang lebih korang gemari?