Tak Mahu Tonton Persembahan Rakan Artis, Amir Masdi Kongsi Debaran Di Pentas AJL35

Share

Juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi telah membuktikan kemampuannya untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 buat pertama kali menerusi lagu Kau Sakiti ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong, Romeo dan Mage.

Remaja berusia 25 tahun ini mengakui bahawa pengalaman berentap bersama finalis yang hebat memberikannya sedikit tekanan, tambahan pula ia merupakan kali pertama dia membuat persembahan di anugerah berprestij ini.

Instagram: TV3 Malaysia

“Syukur Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan secara peribadi, saya dan team berpuas hati dengan persembahan malam tadi kerana apa yang dirancang semuanya telah berjalan dengan lancar. Jujur saya katakan, memang saya nervous teruk sebelum membuat persembahan semalam. Setiap finalis yang berentap di pentas akhir AJL pastinya diletakkan expectation yang tinggi untuk memberikan persembahan terbaik. AJL juga bukan calang-calang pertandingan kerana ia merupakan anugerah berprestij yang ditonton ramai,”

Instagram: TV3 Malaysia

“Walau bagaimanapun saya tetap bersykur kerana diberi kepercayaan dan kesempatan untuk bersaing dengan 11 finalis hebat yang lain. Selepas tamat sahaja pusingan separuh akhir, saya sudah mula membaut persiapan dengan menjalankan rutin kecergasan dan latihan vokal. Dalam seminggu, lebih kurang 3 atau empat kali saya akan berlatih vokal. Bukanlah hari-hari sebab takut overused vokal pula. Selain itu, tunjuk ajar dari guru vokal, cikgu Shafi juga banyak membantu kami dalam menjayakan pentas AJL tahun ini,” jelas Amir.

Instagram: Amir Masdi

Rahsia sebelum beraksi di pentas

“Setiap kali bertanding dalam acara nyanyian, saya tidak akan menonton persembahan pesaing yang lain. Seperti malam semalam, di belakang pentas disediakan televisyen untuk kami menonton persembahan rakan selebriti yang lain. Tapi saya tidak mahu menonton kerana ia akan memberikan tekanan buat saya sekiranya melihat persembahan hebat mereka. Hehe!”

“Sebaliknya, saya dan team akan keluar daripada studio dan berbual kosong. Bila tiba waktu persembahan saya, kru akan memanggil kami untuk bersedia, waktu itu barulah saya masuk semula ke dalam studio,”

Instagram: Amir Masdi

“Tak tahulah ini memang cara peribadi yang saya lakukan untuk mengelakkan diri daripada tertekan. Selain berselawat, saya tidak akan menonton persembahan orang lain sebelum saya naik ke atas pentas,” tambahnya lagi.

Tweet daripada Michael Ang

Pengarah dan penerbit Michael Ang antara individu yang sering memuat naik ciapan di Twitter setiap kali berlangsungnya acara besar seperti AJL 35 ini. Kita semua sudah sedia maklum bahawa Mic akan memberikan komen yang jujur terhadap persembahan yang ditontonnya.

Pada mulanya, Mic telah memuat naik ciapan “Ok dah entah berapa dah nyanyi tak satu pun impress aku! Tak Ada satu lagi pun yg buat aku Cakap wow. Lagi Baik aku dengar lagu sumpah Naim Daniel n lagi yonni boy n zyn nakal tu kat radio! #AJL35 Azlan nyanyi best Tapi lagu ni mcm hmmmm mcm mana masuk final pun tak tahu”


Namun selepas persembahan Amir Masdi, dia telah memberi pujian kepada penyanyi remaja itu.


“Finally a performance yg I bagi sepenuh perhatian! Amir ni so far paling best aku dengar! Walaupun baju mcm master circus campur Michael Jackson! Boleh jadi underdog! Tepokkkkkkkkk simple n nice n the kids nice touch! #AJL35”

Melihatkan kepada ciapan daripada Michael Ang itu, Amir mengucapkan terima kasih dan menghargai komen daripada beliau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Michael Ang kerana secara tidak langsung Tweet yang telah dibuat olehnya dapat memberikan perhatian kepada persembahan saya malam tadi. Jujurnya saya tidak sempat membuka media sosial kerana terlalu sibuk, namun saya merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua penyokong yang telah memberikan semangat buat saya,” kata Amir.

Untuk perancangan kerjayanya selepas ini, Amir berkongsi cerita bahawa dia bakal mengeluarkan single terbarunya tidak lama lagi.

“Kami sudah mempunyai beberapa senarai lagu dalam demo dan berharap agar single terbaru ini dapat dilancarkan secepat mungkin,” tambahnya.

Published by
Noor Ain Norman