Bahang Sukan Olimpik masih dapat dirasai setelah temasya sukan terbesar dunia itu melabuhkan tirainya, Ahad lalu. Semangat kesukanan yang kita rasai masih berbekas hingga ke hari ini.
Tapi, tahukah korang pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh para atlet yang bertanding semasa musim pandemik ini? Nak berjumpa tak boleh, nak ‘terbang’ ke negara lain untuk bertanding pun tak boleh; kecualilah ke kejohanan besar seperti Sukan Olimpik tempoh hari. Itu pun perlu ditunda setahun sebelum mendapat kebenaran.
Bagi para atlet, meeka sudah terbiasa mengunjungi pusat latihan, gimnasium dan stadium pada setiap hari untuk mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa. Sebelum pandemik COVID-19 berlaku, semua itu mudah sekali dilakukan. Namun sepanjang hampir dua tahun kebelakangan ini, hidup mereka telah banyak berubah.
Apa yang kita saksikan di kaca televisyen semasa Sukan Olimpik adalah ‘versi normal’ atlet bertanding iaitu secara berhadapan atau face to face
dengan lawan serta pihak juri.Namun di luar temasya Sukan Olimpik, tidak semua atlet berkesempatan untuk bertanding secara berhadapan. Inilah antara norma baharu yang diakui oleh atlet Taekwondo negara, Sara Yap Khim Wen.
Pemenang pingat gangsa di Sukan Asia 2018 dalam kategori Poomsae individu wanita ini berkongsi kepada penulis baru-baru ini mengenai kekangan yang dihadapinya; sehinggakan perlu bertanding secara dalam talian saja.
Pengalaman ini adalah satu lagi norma baharu yang perlu dibiasakan oleh Sara. Apatah lagi, dia masih dalam proses pemulihan sejak menjalani pembedahan pada November 2020.
“Kami baru saja bertanding secara dalam talian, dua minggu lepas. Persatuan Taekwondo Sedunia kini hanya menganjurkan pertandingan secara maya disebabkan pandemik. Tapi tak mengapalah, bagi saya sekurang-kurangnya kami teruskan momentum bertanding.
“Saya belum lagi berada pada tahap prestasi terbaik memandangkan ia adalah pertandingan pertama yang saya sertai sejak pembedahan..”
“Cuma saya fikir, join sajalah. Open Champion saja,” katanya yang optimistik mampu memberikan cabaran kepada lawannya pada tahun hadapan.
Bercakap mengenai kejohanan yang baru disertainya dua minggu lalu, Sara perlu membiasakan diri untuk merekodkan video sendiri semasa melakukan rutin Poomsae dan menghantarnya kepada pihak kejohanan.
“Oleh kerana aksi direkodkan lebih awal, jadi saya tidaklah merasa ‘nervous’ di hadapan penonton. Lagipun, saya boleh merekod semula beberapa kali hingga saya berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan.”
“Jujurnya, bertanding secara dalam talian amatlah berbeza untuk saya. Saya perlu mencari lokasi sendiri yang selari dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.
“Selalunya, penganjur memberikan atlet satu hingga dua minggu untuk merekod dan kemudiannya menghantarkan video terbaik sebelum tarikh tutup.
“Ada juga masanya di mana penganjur akan menganjurkan pertandingan secara langsung dalam talian. Bagaimanapun, masalah timbul apabila sambungan Internet atlet tidak lancar. Audio dan video juga dikhuatiri tidak seiring.
“Atlet juga perlu sesuaikan diri dengan waktu pertandingan mengikut perbezaan zon waktu. Suka atau tidak, kami perlu biasakan diri dengan situasi baharu ini,” ulas Sara.
Melihat kepada kalendar sukan 2022, sememangnya banyak kejohanan yang telah disusun sepanjang tahun hadapan (selagi pihak penganjur tidak menundanya). Antaranya ialah Sukan Komanwel 2022 Birmingham dari Julai-Ogos, Sukan SEA Vietnam pada bulan Julai dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada bulan September.
Banyak tu! Tak sabar nak lihat Sara mempertahankan kedudukan podium di Sukan Asia dan menuai pingat di kejohanan lain.
Sebelum itu, jom tonton video temuramah REMAJA bersama Sara pada tahun lalu sempena kempen Saya #RemajaMalaysia.