Setelah musim pertama Pretty Little Liars menemui kejayaan dalam kalangan penonton di rantau Asia Tenggara, Viu kembali semula menayangkan siri tersebut bagi musim keduanya bermula 14 April lalu.
Ternyata, respon yang diterima rata-rata tidak sabar untuk menonton habis siri tersebut berikutan kemenangan Pretty Little Liars bagi Anugerah Akademi Kreatif Asia dan Anugerah Kandungan Asia untuk musim pertamanya
Untuk musim kedua ini, siri tersebut masih berlatarkan pekan fiksyen Amerta yang direka secara eksklusif di Bali. Setelah ketua sekumpulan empat pelajar perempuan, Alissa (Yuki Kato), hilang secara misteri; Hanna, Ema, Sabrina dan Aria menyatu kembali untuk mendedahkan siapakah individu misteri yang dikenali sebagai ‘A’, adakah dia masih hidup ataupun telah mati dan siapakah dalang di sebalik kemalangan yang berlaku kepada Hanan pada musim pertama.
Cuma, apa yang berbeza mengenai musim kedua adalah apabila watak Ema yang dilakonkan oleh si cantik manis dari Malaysia, Eyka Farhana telah bertukar tangan kepada pelakon Indonesia, Caitlin Halderman.
Bercakap kepada REMAJA dalam sidang media baru-baru ini, Caitlin menyifatkan tugas mengambil alih watak tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Selain perlu membiasakan diri dengan jalan cerita Pretty Little Liars musim pertama, Caitlin juga berkata dia perlu pantas membiasakan diri dengan dialek bercakap dalam Bahasa Melayu.
“Mereka (produksi) percayakan saya dan menerima kehadiran saya dengan mesra serta banyak memberikan tunjuk ajar.
“Mengenai dialek berbahasa Melayu pula, ia adalah sesuatu yang perlu saya pelajari. Namun dialek tersebut tidaklah kedengaran canggung memandangkan bekas kekasih saya berasal dari Malaysia.
“Demi merealisasikan watak Ema, saya menonton semula babak melibatkan pelakon asal, Eyka Farhana dan melihat bagaimana dia menutur, gaya bahasanya dan reaksi wajahnya sewaktu melakonkan Ema. Selain itu, saya juga mendapatkan jurulatih dialek. Ya, tidak mudah menggantikan Eyka Farhan. Namun saya yakin saya telah lakukan yang terbaik demi peminat Pretty Little Liars,” ulasnya.
Dalam pada itu, Caitlin tidak menidakkan rasa tertekan itu ada semasa menerima tawaran membawakan watak Ema. Umum mengetahui betapa tegarnya penonton siri ini dan dia pasti, mereka mengharapkan kesinambungan siri bagi musim kedua ini melepasi jangkaan mereka.
Itu semua ditolak ketepi sebaik memasuki set. Apa yang lebih utama buat Caitlin adalah untuk benar-benar menggarap jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.
Salah satunya adalah mesej menangkis perbuatan buli siber yang merupakan salah satu budaya popular dalam kalangan remaja muda hingga boleh mengakibatkan isu kesihatan mental yang berlarutan sehingga usia dewasa.
“Seperti yang penonton dapat saksikan, watak Alisa pernah menyuruh Hanna untuk membuang makanannya kerana stigma ‘tubuh berisi’. Babak ‘body shaming’ ini membawa saya kembali ke zaman di sekolah menengah di masa saya juga pernah dibuli. Mesej seperti babak Pretty Little Liars ini membuatkan saya lebih berkobar-kobar untuk menyampaikan mesej anti buli siber,” tambahnya.
Drama Pretty Little Liars boleh ditonton di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, TV pintar terpilih, atau di laman web Viu sendiri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.