Penjagaan rambut bukan hanya perlu dititikberatkan untuk wanita free hair saja. Malah, sebenarnya ia lebih penting bagi wanita yang berhijab kerana perlu memastikan kesihatan rambut terjaga sepanjang hari.
Penjagaan yang rapi adalah sangat penting kerana aliran udara yang tidak menyeluruh boleh menyebabkan rambut rosak. Oleh sebab itu, walaupun berhijab, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan penjagaan rambut.
Berikut merupakan tip penjagaan rambut bagi wanita berhijab yang boleh anda amalkan.
Pemilihan hijab daripada fabrik yang sesuai adalah amat penting. Pilih jenis kain yang selasa dan boleh memudahkan aliran udara ke kepala. Sekarang ni banyak trend hijab yang dipakai berlapis-lapis, bukan tak boleh tapi jangan melebihi empat lapisan kerana semakin tebal hijab, semakin susah rambut nak bernafas.
Elakkan memakai anak tudung yang terlalu ketat menekup kepala dan seeloknya pilih yang diperbuat daripada kain kapas.
Sama ada hijab atau pun anak tudung, elakkan pakai secara berulang tanpa dicuci. Jaga kebersihan rambut dengan memastikan hijab dan anak tudung yang dipakai dalam keadaan bersih.
Tak perlu nak cuci rambut setiap hari. Selang sehari adalah yang disarankan atau sebaiknya jika anda terasa kulit kepala berminyak atau gatal. Sambil cuci, gosok dan urut kulit kepala secara perlahan-lahan.
Pastikan rambut betul-betul kering sebelum mengenakan hijab. Keringkan secara semula jadi dan elakkan daripada membalut rambut dengan tuala. Kalau nak cepat kering juga, boleh gunakan pengering rambut tapi pada suhu yang paling perlahan atau keringkan saja di depan kipas.
Elakkan mencuci rambut dengan menggunakan air suam kerana ia akan menjadikan rambut kasar, kering dan susah untuk diurus. Membilas rambut dengan air sejuk adalah lebih baik untuk melembutkan kutikel rambut.
Bila pulang ke rumah, buka hijab dan jangan terus mandi. Sebaiknya, biarkan kulit kepala bernafas dan peluh kering terlebih dahulu sebelum mencuci rambut.
Selepas membuka hijab, sisir rambut terlebih dahulu dengan sikat bergigi lebar untuk mengelakkan daripada rambut gugur dengan banyak sewaktu mandi.
Cari syampu yang sesuai dengan rambut dan kulit kepala anda. Semasa melakukan treatment di salun, anda juga boleh meminta nasihatm daripada pakar untuk mencari syampu yang baik bagi penjagaan rambut.
Selepas syampu, jangan malas untuk menggunakan perapi rambut. Sapukan hanya pada bahagian rambut dan jangan terkena pada kulit kepala untuk mengelakkan kulit kepala berminyak.
Bagi mereka yang berambut panjang, biasanya akan mengikat rambut terlebih dahulu sebelum memakai hijab. Longgarkan ikatan getah rambut agar mampu untuk ‘bernafas’.
Sebulan sekali, trim hujung rambut untuk membuang bahagian bercabang atau merekah.
Untuk penjagaan ekstra, gunakan pewangi rambut yang disembur sebelum dan selepas memakai hijab bagi mengelakkan bau yang kurang enak.
Penggunaan serum dan pelembab rambut juga dilihat sebagai satu penambahan penjagaan rambut yang boleh anda buat. Oleskan beberapa jam sebelum memakai hijab atau pada waktu malam sebelum tidur.
Akhir sekali, kalau anda mempunyai masalah rambut, dapatkan rawatan segera. Jika tidak mahu mengeluarkan kos yang tinggi untuk mendapatkan rawatan di salun, dapatkan nasihat ahli farmasi untuk pilih syampu yang sesuai bagi kulit kepala anda.